Monday 18 July 2016

Nilai Murni dalam Gurindam Beberapa Petua Hidup Za'ba

 

Artikel sulung bagi tahun 2016 dalam majalah Pelita Bahasa. Terima kasih DBP kerana masih memberikan kesempatan untuk berkongsi idea dan fikiran.



Berdasarkan subtopik yang berhubung dengan Fikir dan Kata, terdapat tiga nilai murni yang hendak disampaikan sebagai pedoman dan petua dalam kehidupan, iaitu nilai rasional, kebijaksanaan dan berhati-hati. Nilai rasional dikenal pasti dalam rangkap 1 yang menyuguhkan kita agar berfikir dengan waras agar tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa kesesatan. Apabila nilai rasional diutamakan dalam berfikir, maka dapat menjamin kesejahteraan dan kesihatan mental kesan daripada corak atau cara berfikir yang positif. Sementara rangkap 2 pula mengutarakan nilai kebijaksanaan, iaitu dengan cara berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan patah-patah kata. Seseorang yang bijaksana akan memperlihatkan kearifan dalam berkata-kata dengan memilih kata, ungkapan dan ayat yang bersesuaian agar tidak menyinggung perasaan orang lain yang akhirnya boleh mengundang sengketa. Misalnya, dengan mengutamakan penggunaan bahasa yang menunjukkan penggunaan bahasa yang halus, sopan dan betul mengikut konteksnya. Rangkap 3 dan 4 pula mengetengahkan nilai berhati-hati. Sikap berhati-hati amat penting dalam kehidupan seharian agar kata-kata yang terlepas dari mulut kita tidak seperti beringin (pokok yang mistik dan berhantu), racun dan upas (pokok nipah yang boleh mengeluarkan racun). Kata-kata yang mengandungi ‘racun’ sudah pasti mengenakan bisanya kepada orang di sekelilingnya sehingga membawa kemudaratan atau padah. Perkara yang sama juga dilontarkan dalam rangkap 4 bahawa ketajaman kata-kata boleh membahayakan diri sendiri apabila timbul perasaan dendam di pihak orang lain yang tidak senang mendengar kata-kata tajam tersbut. Oleh itu, ada pepatah mengatakan bahawa lidah lebih tajam daripada sebilah pisau dan turut relevan dengan peribahasa kerana pulut santan binasa kerana mulut badan merana.
 

Subtopik tentang Silang Sengketa turut memanifestasikan nilai berhati-hati dalam kedua-dua rangkap. Hal ini bermakna sikap berhati-hati harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian agar dapat mengelak sengketa yang akan mengundang kemarahan, pergaduhan dan permusuhan bukan hanya mengakibatkan kedukaan. Jelas bahawa kita diingatkan agar tidak mencari masalah atau sengaja berselisih faham dengan pihak lain kerana impaknya amat besar dalam kehidupan. Kita juga jangan menjadi pengecut jika terpaksa berhadapan dengan masalah akibat daripada sengketa yang wujud. Oleh itu, sikap berhati-hati sewajarnya dipraktikkan sebagai petua dalam hidup.


Seterusnya tentang Ilmu yang seharusnya dituntut selagi hayat dikandung badan. Malahan ada pepatah mengatakan bahawa tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad. Secara umumnya ilmu merujuk kepada pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut metode yang digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkaitan dengan ilmu atau pengetahuan tersebut. Oleh itu, usaha menuntut ilmu amat dituntut dalam kehidupan sebagaimana nilai yang diketengahkan dalam kedua-dua rangkap, iaitu nilai kegigihan dan kesungguhan. Dalam menuntut ilmu kita disarankan agar menuntut ilmu yang berguna dan mendatangkan manfaat sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Ilmu yang dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman kita juga dapat diperoleh jika kita gigih dan rajin menggapainya. Ilmu yang diperoleh akan dapat membezakan taraf diri kita dengan orang lain malahan meningkatkan kebijaksanaan dalam berfikir dan menyumbangkan idea. Kegigihan memperoleh ilmu merupakan kegiatan terpuji dan meletakkan kedudukan seseorang pada darjat yang tinggi  di sisi masyarakat selain dapat mencegah kejahilan dan kebodohan. Oleh itu, untuk mendapat ilmu tersebut maka kesungguhan dan kegigihan amat perlu untuk disemai dan disuburkan dalam sanubari setiap insan.

No comments:

Post a Comment