Sunday, 23 August 2015

Sebuah Pengembaraan Pendek di sekitar Palm Spring Damansara

Sepetang menjejakkan kaki dan bersiar-siar merehatkan minda dan melepaskan lelah yang tenat.







kondominium sapiza

Kritikan Sosial dalam Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja




 ayam sabung


Cerpen yang bertajuk Kaduk Ayam dan Raja yang dimuatkan dalam Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul (2014) merupakan hasil kreativiti dan ketajaman mata pena pengarang tersohor Zurinah Hassan. Cerpen yang menjadi bahan bacaan para murid Tingkatan Empat di seluruh Malaysia ini  merupakan garapan idea, rakaman suara hati  dan pancaran semangat pengarang yang peka dan prihatin dengan persekitaran sosial masyarakatnya. Isu yang diketengahkan amat  relevan dengan milieu serta khalayaknya dewasa ini dengan harapan berlakunya transformasi minda dalam kalangan masyarakat demi mengarah kepada kecelikan, kebijaksanaan, kesedaran dan kemajuan.
            Khalayak murid telah disajikan dengan seloka Pak Kaduk yang dimuatkan dalam Antologi Harga Remaja yang digunakan sebelum ini. Seloka Pak Kaduk yang dihasilkan dalam bentuk genre puisi tradisional dapat dikatakan sebagai hipogram kepada cerpen Kaduk, Ayam dan Raja yang telah mengalami transformasi fizikal, iaitu dalam bentuk genre cerpen di tangan Zurinah Hassan.  Cerpen ini suatu manifestasi perubahan minda keturunan Kaduk pada zaman Raja dengan milieu sekarang. Keturunan Kaduk sudah berkembang dan nama juga tidak jelik tapi memberikan cerminan yang lebih positif. Kaduk telah menamakan anaknya Hassan yang bererti “yang baik” dan Hassan pula telah menamakan anaknya Hakim yang bererti “bijaksana”.  Keturunan Kaduk sudah mengalami transformasi dan digambarkan lebih bijak dalam usaha mengecapi kemajuan hidup. Fokus utama cerpen ini berkisar tentang cucu kepada Kaduk, iaitu Hakim yang sudah menjadi insan terpelajar pada zaman merdeka. Laungan, nyanyian dan ejekan ayam menang kampung tergadai sebagaimana nasib malang yang menimpa datuknya dahulu kala sudah tidak kedengaran lagi. Pengarang telah memperdagang watak Hakim sebagai waris Kaduk yang akan berusaha menebus balik tanah datuknya.
            Cerpen ini bertemakan kesungguhan anak muda menceburi bidang keusahawanan, iaitu dengan penglibatan dalam projek ternakan ayam walaupun pelbagai onak dan duri yang terpaksa diharungi. Keperitan cabaran  yang diharunginya menyebabkan anak muda ini menganggap kisah penindasan yang berlaku kepada datuknya berulang kembali. Dalam cerpen ini, Zurinah Hassan telah merakamkan suara hatinya dengan anyaman yang kental melalui watak Hakim agar mesej yang hendak diketengahkan dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat. Justeru, beliau telah menampil dan memprojeksikan kritikan sosial yang difokuskan kepada pihak-pihak yang tertentu. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kritikan sebagai sesuatu pernyataan yang salah atau tidak baik, celaan, teguran dan kecaman terhadap sesuatu perkara. Mana Sikana dalam buku beliau yang bertajuk Kritikan Sastera Melayu Moden mendefinisikan kritikan sebagai kegiatan menilai teks-teks kreatif sama ada cerpen, puisi, drama atau novel. Menurut beliau, proses penilaian akan berlaku sepanjang pembacaan terhadap teks yang dibaca. Sementara sosial lebih merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kritikan sosial dalam teks-teks sastera sebagai usaha, alternatif atau tugas menilai sesuatu isi karya kreatif atau sesebuah teks sastera untuk menekuni kelemahan, kepincangan dan kecelaan yang berlaku dalam masyarakat sebagai aspirasi untuk menyedar, memandu dan menyediakan alur yang betul kepada masyarakat untuk berubah ke arah yang lebih baik. Lanjutan daripada itu,  kita dapat mencungkil unsur didaktik dan  moral sama ada yang positif atau negatif yang membelenggu dan mendarah daging dalam kitaran kehidupan sesebuah masyarakat. Hal ini sekaligus menjurus ke arah pembinaan keharmonian sosial dan pembentukan keprihatinan dan paparan tanggungjawab sosial terhadap permasalahan yang melanda masyarakat dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, politik dan sosial.
Norsyuhada Salleh dalam makalahnya yang bertajuk “Kritikan sosial dalam Penulisan Kreatif”  keluaran majalah Tunas Cipta Januari 2015, berpandangan bahawa kritikan sosial dalam  penulisan kreatif merupakan kritkan membina dan objektifnya adalah untuk menyedarkan masyarakat yang sedang alpa dan lena supaya bangkit untuk memajukan diri, bangsa dan negara. Dalam konteks cerpen Kaduk, Ayam dan Raja pula didapati kritikan sosial ini menjurus kepada teguran terhadap karekter pihak-pihak tertentu yang memegang kuasa khususnya yang berkuasa dalam bidang ekonomi namun alpa akan tanggungjawab sosialnya  untuk membantu  golongan yang memerlukan sokongan khususnya dalam dunia perniagaan yang mencabar. Sikap positif yang melatari  masyarakat turut diberi perhatian dalam cerpen ini.
Berdasarkan penghayatan, penganalisisan dan penilaian terhadap cerpen ini, didapati kritikan sosial dalam cerpen ini melibatkan aspek yang negatif dan aspek yang positif. Kritikan sosial yang negatif bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab sosial mereka akibat kepincangan moral dan desakan untuk memonopoli kuasa ekonomi sehingga memanipulasi golongan yang lemah manakala kritikan yang positif bertujuan untuk membina kemajuan minda selain meningkatkan motivasi dalam masyarakat.  Zurinah Hassan menyampaikan objektif penulisannya kepada khalayak pembaca dengan mengetengahkan kritikan yang negatif dan positif sebagaimana dalam jadual berikut.


Kritikan sosial dalam cerpen Kaduk, Ayam dan Raja
Aspek
Isu kritikan

Negatif
Penindasan terhadap golongan miskin
Sikap masyarakat yang suka menjual tanah
Kejahilan  dalam dunia perniagaan
Penindasan Raja baharu pada zaman moden

Positif
Sanjungan kepada masyarakat yang celik pendidikan
Keadilan undang-undang
Kepekaan terhadap seruan kerajaan “Pertanian adalah perniagaan”

Berdasarkan jadual tersebut, kritikan yang negatif termasuklah penindasan terhadap golongan miskin, sikap masyarakat yang suka menjual tanah, kejahilan dalam dunia perniagaan dan penindasan Raja baharu pada zaman moden. Kritikan ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat agar setiap perancangan harus dibuat dengan teliti dan berhati-hati dengan mengambil kira dan memikirkan impak yang akan dihadapi dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar.
Kritikan tentang penindasan terhadap golongan miskin dapat diteliti berdasarkan sikap Raja yang sanggup memanipulasi dan mengeksploitasi golongan yang lemah dan miskin seperti Kaduk. Walaupun ayam kepunyaan Kaduk menang tetapi tanahnya tetap tergadai kerana muslihat golongan yang berkuasa. Malahan perkara ini bukan sahaja menimpa Kaduk tetapi rakyat yang lain turut menerima nasib yang sama. Tanah mereka diambil secara terang-terangan, secara muslihat  dan secara halus sehingga mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hidup merempat. Adakah rakyat boleh memarahi dan mengambil tindakan kepada seorang Raja yang berkuasa? Tepuk dada tanya selera. Dalam hal ini, sepatutnya golongan yang berkuasa memikirkan nasib rakyat yang miskin bukannya mengambil kesempatan atas kemiskinan dan kesusahan rakyatnya. Rakyat yang miskin seharusnya dibela bukannya ditindas dengan kezaliman. Kezaliman inilah yang ada kalanya menyebabkan rakyat memberontak dan menjadi penentang. Penindasan golongan berkuasa kepada golongan marhaen dapat dilihat berdasarkan penceritaan pengarang dalam petikan berikut.

 Halaman 45
Raja sanggup mengambil tanah rakyatnya yang miskin. Bukan hanya tanah Kaduk malah raai lagi rakyat yang ditipu dan dirompak pada siang hari. Kau tahu apa terjadi kepada Kaduk selepas tanahnya diambil. Dia dan isteri serta seorang anak lelaki, hidup merempat dan menumpang di atas tanah yang sebenarnya tanahnya sendiri. Dari miskin menjadi bertambah miskin. Dari susah menjadi lebih susah.

Kritikan seterusnya turut dilontarkan kepada masyarakat yang suka menjual tanah kepada orang lain untuk mendapatkan wang dengan jalan yang mudah dan cepat. Kritikan ini khas ditujukan kepada masyarakat Melayu yang suka menjual tanah kepada orang lain. Sepatutnya mereka harus melindungi dan menjaga hak mereka tersebut. Tanah yang ada sepatutnya diusahakan sendiri agar memberikan pulangan yang lumayan. Jika tidak pun dipelihara dan disimpan untuk diwariskan kepada anak cucu cicit mereka suatu hari nanti. Hal ini kerana bukannya mudah untuk memiliki tanah walaupun sekangkang kera pada masa ini dengan nilai harga tanah yang semakin melambung naik. Hal inilah yang dikritik olah Hakim, cucu Kaduk sehingga dia berupaya untuk menebus dan mendapatkan kembali tanah datuknya dahulu kala yang seluas empat ekar. Walaupun Hakim hanya berseloroh semasa berbual dengan Adam, namun seloroh ini memanifestasikan makna yang tersirat, iaitu sindiran kepada pihak tertentu selain menyampaikan unsur didaktik kepada masyarakat. Perkara ini dapat diteliti dalam halaman 47.

 Halaman 47
Hakim pernah berseloroh, “Kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial. Aku akan namakannya Memorial Pak Kaduk. Bair memorial itu mnejadi peringatan kepada semua umat Melayu agar berhati-hati dengan tanah mereka. Maksu aku, biar mereka menjaga hak-hak mereka agar tidak terlepas ke tangan orang lain”.

Pengarang turut mengkritik kejahilan orang Melayu dalam dunia perniagaan sehingga mengalami hutang keliling pinggang. Walaupun Hakim telah mengikuti pelbagai kursus dan mendapatkan ilmu pengetahuan dalam bidang penternakan, namun Hakim masih lagi jahil tentang selok belok dunia perniagaan. Hakim telah tersilap kerana memilih syarikat RAJA tanpa menyelidiki terlebih dahulu prosedur-prosedur yang sepatutnya. Perkiraan dan jangkaan Hakim jauh tersasar. Hakim menyangka penternakan kontrak yang dipilihnya akan memberikan keuntungan dengan situasi menang-menang. Sebaliknya yang berlaku syarikat RAJA mendapat keuntungan yang lebih besar dan berlipat ganda dan Hakim yang rugi sehingga berhutang dengan bank dan syarikat RAJA. Dalam perjalanan setahun penglibatan Hakim dalam bidang penternakan, pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapinya daripada pembahagian keuntungan sehinggalah kepada lokasi penternakan kerana masalah jalan yang tidak berturap. Dalam konteks ini, aspirasi dan cita-cita Hakim amatlah dipuji dan disanjung tinggi kerana memikirkan sumber makanan untuk insan-insan yang lain. Walau bagaimanapun, untuk menceburi bidang yang mencabar ini kajian atau penyelidikan dalam bidang ilmu ekonomi harus dilakukan oleh Hakim agar dapat meminimakan risiko yang ditanggung. Hakim sepatutnya berurusan dengan Jabatan Haiwan bagi mengelakkan penternak kecil sepertinya terperangkap dengan permainan syarikat besar. Semua ini berlaku disebabkan keghairahan Hakim tanpa memikirkan aspek yang lebih luas sebelum memulakan penternakan. Hal ini dapat dilihat dalam petikan berikut.

 Halaman 51
“Nampaknya aku tersalah perkiraan. Aku memilih ternakan kontrak ini kerana aku fikir penternak dan syarikat payung berada pada situasi menang-mennag. Kalu aku untung, pihak RAJA juga akan untung. Rupa-rupanya tidak. Syarkat RAJA akan untung berlipat ganda.
Halaman 50
Hakim mengeluh sebelum memberi jawapan, “aku tahu membela ayam ni satu risiko. Tetapi kalau semua orang takut, bagaimana manusia hendak mendapatkan barang makanan? Cuma … kadang-kadang aku rasa terlalu banyak masalah yang menimpa.”

Penindasan Raja baharu pada zaman moden turut menjadi kritikan dalam cerpen ini. Walupun Raja pada zaman Kaduk sudah mangkat, tetapi Raja baharu pula yang muncul, iaitu syarikat RAJA (Rangkaian Jasa Agrikultur) yang merupakan cawangan Global Chicken. RAJA merupakan simbolik kepada Raja Baharu yang memerangkap pengusaha dengan kontrak untuk menyediakan makanan ayam, anak-anak ayam dan ubat-ubatan untuk ayam. Hasil jualan akan dipotong untuk kos atau modal penyediaan bahan-bahan berkenaan oleh syarikat RAJA. Hakim mendapat hasil jualan ayamnya sebanyak RM 85, 000.00 tetapi hanya RM 13,000 yang menjadi kepunyaan Hakim, selebihnya RM72, 000 diambil oleh pihak RAJA. Hakim terpaksa menggunakan RM 13,000 untuk menampung semua kos termasuk membayar gaji pekerjanya. Perkara yang lebih teruk apabila Hakim tidak berhak untuk menentukan harga makanan ayam dan ubat-ubatan yang dihantar. Semua urusan daripada makanan ayam dan urusan penjualan diurus oleh syarikat RAJA  dengan harga yang ditentukan oleh mereka. Situasi ini menyebabkan Hakim berhutang keliling pinggang apabila harga jualan tidak cukup untuk menampung kos yang dikeluarkan syarikat RAJA. Dalam konteks ini, RAJA merupakan simbolik kepada  Raja baharu yang muncul dan memegang kuasa ekonomi. Hakim sedar bahawa nasibnya hampir sama dengan nasib datuknya Kaduk jika Hakim tersilap langkah. Mereka mengalami nasib yang serupa apabila berada di bawah cengkaman golongan yang berkuasa dan melakukan penindasan terhadap golongan yang lemah. Dalam hal ini, sepatutnya pihak kerajaan membuka mata dan memantau syarikat-syarikat besar agar tidak menindas pengusaha-pengusaha yang baharu hendak menceburi bidang ini. RAJA yang wujud pada zaman moden telah menggantikan Raja yang telah mangkat pada zaman Kaduk kerana melakukan penindasan terhadap pengusaha-pengausaha kecil dengan mengaut keuntungan yang berlebihan. Bagi Hakim, sejarah telah berulang kembali apabila Kaduk yang merujuk kepada dirinya dan Raja yang merujuk kepada syarikat RAJA tetap wujud pada zaman yang sudah merdeka. Keluhan dan luahan Hakim tentang kewujudan Raja baharu dapat diteliti dalam petikan berikut.

 Halaman 53
“Pada zaman ini tiada lagi raja yang menyabung ayam tetapi raja baharu telah muncul. Raja itu tetap menguasai seluruh hiudp kita. Kita tidak dapat berbuat apa-apa selian mengikut telunjuk mereka. Mereka ialah golongan yang memegang kuasa ekonomi negara. Kita tetap Kaduk dan mereka tetap raja, “ luah Hakim.

Kritikan dari aspek yang positif pula dapat dilihat menerusi sanjungan kepada masyarakat yang celik pendidikan, keadilan undang-undang dan kepekaan terhadap seruan kerajaan “Pertanian adalah perniagaan”. Sanjungan kepada masyarakat yang celik pendidikan yang disuarakan oleh pengarang dalam cerpen ini dapat memberikan motivasi kepada masyarakat bahawa pendidikan amat penting kerana hanya pendidikan yang dapat memecah tembok kemiskinan. Kecelikan anak Kaduk, iaitu Hassan telah melahirkan insan terpelajar seperti Hakim. Hal ini bermakna Hassan sudah mengalami anjakan paradigma dalam kehidupannya apabila memberikan pendidikan kepada Hakim. Oleh itu, Hakim telah meletakkan status  dirinya lebih tinggi, iaitu  sebagai graduan universiti daripada ayah dan datuknya. Pendidikan tinggi yang dimiliki Hakim dalam bidang perundangan telah mencelikkan matanya bahawa dia dapat  menebus balik tanah datuknya yang telah tergadai. Ilmu yang dimilikinya membolehkan Hakim mengetahui kepincangan dan ketidakadilan yang wujud dewasa ini. Pakatan dengan rakannya, Azam yang merupakan seorang peguam telah menyebelahi pihak Hakim. Walaupun penglibatan Hakim dalam dunia perniagaan penuh mencabar, sekurang-kurangnya dengan pendidikan yang dimilikinya Hakim telah berani menceburi bidang yang berisiko tersebut. Kecelikan dan kebijaksanaan Hakim dalam meneroka dunia pendidikan terdapat dalam petikan berikut.

 Halaman 46
Hakim, cucu Kaduk ialah seorang yang terpelajar. Hal inilah yang hendak kuceritakan di sini. Dia belajar hingga ke universiti, barangkali berkat namanya yang bermaksud bijaksana itu. Hakim semakin sedar bahawa betapa banyaknya ketidakadilan yang sedang berlaku di sekelilingnya. … Pengajiannya telah memberikannya pencerahan terutama dalam kes tanah datuknya yang terlepas ke tangan raja.

            Selain itu, cerpen ini juga mengutarakan kritikanyang positif tentang keadilan undang-undang. Ketidakadilan yang berlaku dalam kes tanah datuknya telah mendorong Hakim menuntut balik tanah datuknya Kaduk dengan memfailkan saman. Hakim telah melantik Azam sebagai peguamnya. Berkat kefasihan dan bukti yang dikemukakan, maka nasib menyebelahi mereka. Semasa Kaduk menyerahkan tanah kepada Raja suatu ketika dahulu,  tiada sebarang bukti, tandatangan atau MoU mahupun syarat-syarat perjanjian yang mengesahkan pertukaran tersebut berlaku. Oleh sebab Raja berkuasa maka tanah itu jatuh ke tangan Raja. Justeru, apabila ayam kepunyaan Kaduk menang, maka tanah itu harus menjadi kepunyaan Kaduk. Berdasarkan hujah dan alasan yang telah dikemukakan, undang-undang menyebelahi mereka dengan kemenangan kepada Hakim. Oleh itu, jelas bahawa keadilan undang-undang inilah yang harus dipraktikkan agar nasib rakyat terbela dan pihak mahkamah bersifat telus dalam menangani sebarang kes. Keadilan undang-undang ini dapat dilihat berdasarkan keputusan mahkamah dalam petikan berikut.

 Halaman 47
Mahkamah mengumumkan keputusannya hari ini. Tidak payah aku ceritakan butiran hujah dan beberapa helaian muka surat yang dibaca oleh tuan hakim di kamar pengadilan. Yang pentingnya, tanah empat ekar di hujung kampung dan di tepi belukar itu kini sah menjadi milik Hakim bin Hassan bin Kaduk. Alhamdulillah.

            Kritikan bersifat positif yang tidak kurang pentingnya ialah  kepekaan terhadap seruan kerajaan “Pertanian adalah perniagaan”. Penglibatan Hakim dalam projek pengeluaran makanan adalah di dorong oleh kesedaran untuk menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat untuk menambah hasil pengeluaran makanan negara kerana hal ini berkaitan dengan keselamatan negara. Pihak kerajaan menyeru agar tanah yang kosong dan terbiar diusahakan supaya dapat mengurangkan barangan import. Pada masa yang sama pemimpin negara juga menggalakkan graduan muda untuk menceburi bidang pertanian khususnya mereka yang menganggur. Lanjutan daripada itu, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan  dan skim pembiayaan untuk membantu pengusaha yang menceburi bidang ini. Hakim ialah wakil graduan yang menyahut seruan kerajaan setelah dia menghadiri pelbagai kursus dan ceramah berkaitan selain memperlihatkan kepekaannya akan seruan tersebut. Tindakan Hakim merupakan usaha murni yang patut disanjung tinggi kerana sanggup menanggung sebarang risiko dan menghadapi segunung cabaran yang seharusnya menjadi ikutan anak-anak muda atau graduan yang lain. Seruan kerajaan bahawa “Pertanian adalah Perniagaan” terdapat dalam petikan berikut.

 Halaman 49
Kerajaan menyediakan banyak peluang terutama kepada keistimewaan dalam Dasar Ekonomi Baru. Ada pelbagai bantuan dan skim pembiayaan untuk projek pertanian yang dikendalikan oleh sebuah bank khusus. Nah, semuanya ada di hadapan anda! Yang diperlukan sekarang ialah kesanggupan anda untuk bekerja kuat. Ingat slogan ini, “Pertanian adalah Perniagaan”.

            Berdasarkan penelitian dan perbincangan, ternyata Zurinah Hassan telah berjaya mengemukakan isu-isu yang relevan dengan milieu dan zaman yang sudah lama merdeka ini. Kritikan-kritikan ini dapat memberikan panduan, teladan, contoh dan motivasi kepada generasi muda yang bakal menjadi graduan universiti suatu hari nanti. Para graduan harus sedar bahawa kadar pengangguran semakin meningkat dan mereka harus bersiap siaga dengan perancangan yang rapi dan teliti untuk menceburi bidang yang mendatangkan hasil yang lumayan. Perkara ini dapat mengelak para graduan hanya menunggu dan mengharapkan peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan. Selaku belia yang merupakan aset negara, janganlah dipersia-siakan harapan negara yang telah bersusah payah memberi dan menyediakan pelbagai kemudahan. Ilmu yang dituntut pula harus diguna dan dipraktikkan untuk kemajuan diri, bangsa dan negara.
Kepekaan dan keprihatinan kepada  perkara yang berlaku di persekitaran kita akan memberikan pengajaran dan kesedaran agar kita dapat melakukan sesuatu yang lebih baik. Kepekaan Hakim atas kes datuknya, memberikan peluang kepadanya untuk menebus kembali maruah dan tanah Kaduk yang telah tergadai pada zaman itu. Peluang mendapat kembali tanah tersebut digunakan oleh Hakim dengan sebaik-baiknya walaupun banyak risiko yang terpaksa ditanggung. Dalam mendepani dunia perniagaan yang  ada pasang dan surutnya, maka kita hendaklah membuat penyelidikan dan memiliki perancangan yang sistematik dan pragmatik selain meningkatkan ilmu di dada. Justeru, generasi muda khususnya yang masih di bangku sekolah harus mengambil ikhtibar daripada kisah Hakim agar mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi untuk bersaing dalam arus globalisasi. Pada masa yang sama, kita harus peka dengan kewujudan Raja baharu yang sentiasa bermotifkan keuntungan. Oleh itu, generasi muda harus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta menanam dalam diri mereka sikap dan kualiti yang dinamik dan berdisiplin. Akhir kata,  generasi muda harus bersiap siaga agar negara dapat melahirkan warganegara yang cekal, tabah, bertenaga, bersemangat waja, berdaya saing dan beriltizam tinggi untuk mencapai kejayaan dan kemajuan selain menjadi pewaris negara yang cemerlang.
 ... ayam jantan milik warga setempat hingga kini tak henti bertelur

Saturday, 1 August 2015

SEMINAR KEBANGSAAN KAEDAH PENYELIDIKAN-29 JULAI 2015

Seminar ini telah diadakan di Institut Perguruan Kampus Batu Lintang Kuching. Seminar sehari ini telah berjayamngetangahkan kaedah-kaedh penyelidikan yang relevan dengan bidang kajian yang menjadi fokus dunia pendidikan. Sudah tentu impaknya akan dapat mengangkasakan dunia pendidikan tanah air. Seminar ini menjadi medan pertenuan dengan rakan-rakan dari Sarawak yang masoh lagi sama-sama BERJUANG membuat PhD di UA yang berbeza. PhD= Perjalanan Harungi Dugaan.


Ikmal (UPSI), Awg (UM), Saanah (UKM), Liew Sang2 (USM), Aku (UM), Lady Zuelly (UKM) & Felix (UNIMAS)

Pesertayang hadir-Lady Zuelyy kwnku





KENANGAN DI INSTITUT PERGURUAN KAMPUS BATU LINTANG, KUCHING. SEMOGA PERJALANAN HARUNGI DUGAAN BERJALAN LANCAR.

Hari Raya Aidilfitri 2015

Hari Raya Aidilfitri 2015, dapat merapatkan silaturrahim dalam keluarga, antara keluarga dan antara sahabat handai. Yang keruh dijernihkan, yang kusut dileraikan, yang terpendam diluahkan. Kemaafan yang dipohon akan melenyapkan segala yang sudah berlalu dan membuat persediaan membuat lembaran baharu. Bersyukur ke hadrat Ilahi yang memanjangkan usia mak n apak.





nostalgia sekitar hari raya 2015