Saturday, 4 July 2015

Drama 1400-Dramatis Noordin Hassan



Pemikiran dan Persoalan Akidah dalam Drama 1400 Noordin Hassan

Drama 1400 merupakan salah sebuah drama terpilih dan dimuatkan dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku hasil daripada lontaran idea dramatis Noordin Hassan. Antologi ini  masih digunakan oleh para murid Tingkatan Lima dan tahun 2015 merupakan tahun terakhir penggunaanya sebelum digantikan dengan antologi yang baharu. Drama 1400 dimuatkan pada halaman 235-283 (48 halaman) dalam antologi ini di samping dua buah lagi drama, iaitu Dato’ Onn dan Tiang Cengal Dinding Sayung

Dramatis Noordin Hassan
Dalam usaha memupuk minat para murid terhadap karya sastera, sejarah ringkas atau biodata tentang seseorang pengarang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Perkara ini perlu disentuh malahan terkandung dalam huraian sukatan pelajaran, iaitu slot memperkenalkan pengarang agar para murid mempunyai pengetahuan yang lebih luas dan mendalam dalam hal ini. Para murid harus diperkenalkan dengan pengarang yang telah menghasilkan buah fikiran sehingga menjadi bahan bacaan dan kajian mereka. Noordin Hassan sebagai dramatis telah menghasilkan sumbangan yang besar dalam genre drama. Ketokohan Noordin Hassan sebagai dramatis ternyata luar biasa terutamanya dalam sejarah dan perkembangan drama moden di Malaysia. Mana Sikana  dalam bukunya Tokoh-tokoh  Unggul dalam Sastera Melayu berpendapat bahawa Noordin Hassan ialah dramatis dan dramawan yang sangat dihormati atas jasa-jasa dan penglibatannya dalam drama. Jika disorot, teks-teks drama beliau mencapai kedudukan istimewa dan tinggi dalam aspek kualitinya. Noordin Hassan juga merupakan pelopor aliran surerealisme dalam genre drama di Malaysia melalui drama beliau Bukan Lalang Ditiup Angin pada awal tahun 1970-an. Situasi ini diperkukuh dengan pandangan Mana Sikana (19830 yang menyatakan bahawa “...akhirnya aliran realisme dalam drama juga diberontaki aliran baru, malah di dalam pendramaan Malaysia, pemberontakan ini lebih berani dan lantang. Noordin Hassan adalah dramatis yang memulakan tradisi aliran baru”. Pemberontakan yang dilakukan oleh Noordin Hassan ini adalah atas kesedaran beliau sendiri dan bukannya secara kebetulan. Surerealisme bermaksud tidak nyata atau unreal. Drama aliran surerealisme telah meninggalkan gaya dan bentuk drama-drama aliran realisme yang berpijak di bumi nyata. Drama aliran surerealisme berupa mimpi-mimpi dan khayalan, mimpi dan khayalan itu pula terpecah-pecah dan tidak logik serta tiada asosiasi dengan logik. Manakala bahasanya bebas dan lincah daripada bahasa kolokial.  Antara anugerah yang pernah digondol Noordin Hassan ialah Hadiah Sastera 1972 dengan drama Bukan Lalang ditiup Angin, bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1979, Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1987 dan 'Anugerah Sasterawan Negara’ pada tahun 1993 manakala pada tahun 1994, Noordin Hassan dianugerahkan Pingat Darjat Setia Pangkuan Negeri (DSPN) daripada kerajaan Pulau Pinang yang membolehkan beliau bergelar Datuk Noordin Hassan.
Drama 1400  mempunyai kekuatan dari segi penggunaan unsur-unsur keagamaan yang lebih ketara dan menyerlah kerana unsur-unsur ini diaplikasi bagi menyampaikan konsep, pendapat, renungan, iktibar dan mesej kepada khalayaknya. Teknik dakwah digunakan sebagaimana yang dimanifestasikan oleh penggunaan ayat-ayat al-Quran, zikir dan lagu berunsur dakwah yang ternyata mengukuhkan nilai-nilai Islam dalam drama ini. Penggunaan teknik dakwah bertujuan untuk menyampaikan mesej keimanan kepada Allah. Dalam drama ini, terdapat watak-watak seperti Maulana, Pengucap, dan Haji Sabri yang menyeru kepada beriman kepada Allah dengan aspirasi untuk menyedarkan watak-watak lain yang leka, lalai dan alpa dengan keindahan dan kemewahan dunia fana. Jelaslah, beliau mempunyai gaya dramatik yang tersendiri dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.
Pemikiran dalam 1400
Pemikiran dalam drama 1400 berfokus pada perubahan terhadap perspektif hidup. Perubahan ini dikaitkan dengan konsep hijrah yang mengambil ikhtibar daripada peristiwa hijrah  sebagaimana yang berlaku dalam sirah Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya konsep hijrah itu cukup luas dan tidak terbatas kepada migrasi atau perpindahan fizikal semata-mata. Hijrah bermaksud suatu transformasi kelakuan daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan dan daripada penderhaka kepada patuh dan taat kepada Allah. Dalam erti kata lain berlakunya transformasi dalaman selain membuat anjakan paradigma dari sudut akhlak dan keimanan.
Dalam drama 1400, hijrah digambarkan berlaku kepada watak utamanya Dolah, Abu Lahab dan isterinya serta Musafir I dan II. Mereka digambarkan sebagai hamba Allah yang melakukan kesalahan dan dosa tetapi pada saat akhir perjalanan cerita timbul bibit-bibit kesedaran. Justeru, mereka menyesal dan bertaubat sesudah itu ‘berhijrah’. Perinciannya dapat perlihatkan melalui watak utamanya, iaitu Dolah. Dolah yang capik tetapi mempunyai bakat sebagai pemimpin tidak dipilih menjadi wakil masyarakatnya. Dolah ialah ahli masyarakat yang dipinggirkan kerana sifat fizikalnya yang tidak sempurna. Hal ini menyebabkan Dolah terjerat dan terperangkap oleh penghinaan yang diterimanya. Dengan bantuan Jin Tanah melalui suatu upacara yang dilakukan oleh pawang, tiba-tiba Dolah berubah menjadi orang kaya. Dalam keasyikan sebagai orang kaya itu, Dolah lupa akan tanggungjawab rohaninya, agama dipinggirkan, mayat ibu tidak dikebumikan dengan sempurna, dunia Dolah penuh dengan kebendaan dan kesombongan. Dolah alpa dengan keindahan dan kemewahan dunia lebih-lebih lagi setelah menjadi orang kaya. Tuntutan utama hidup Dolah ialah kekayaan sebagaimana dalam petikan halaman 247 ini.
DOLAH : Harta karun, harta karun. Betul kata Tuk Pawang, betul kata Jin Tanah. Wahai Jin, wahai Jin, wahai apa saja, sekarang biar masyarakat lihat. Dolah capik, ya? Tongkat ini tidak berguna lagi. Dolah tidak capik lagi. Ini Dolah baru. Dolah yang terhormat, yang berhormat yang boleh menyelamat dan mempunyai hikmat. Nah, cium tangan, cium tangan. Sekarang kau semua kenal Dolah, ya?
                                                                           
Walau bagaimanapun, Dolah mendapat hidayah dan mulai sedar akan kealpaannya selama ini setelah mayat ibunya ditakdirkan bercakap dan menyuruh dia bertaubat dengan memohon ampun kepada Allah dan berhijrah. Sesudah peristiwa tersebut, watak Dolah mula berubah. Dolah yang selama ini mementingkan kebendaan dan kepalsuan duniawi telah sedar akan tanggungjawab yang diabaikannya. Dolah insaf dengan kembali kepada tuntutan agama yang sebenar. Demi mengukuhkan kesedaran tersebut, Dolah berhijrah ke kampung lain. Dalam penghijrahan itu, Dolah berubah dalam menjaga dua hubungan, iaitu hubungan dengan Allah – hablummina Allah dan hubungan dengan manusia – hablumminnas. Dolah menumpahkan kepatuhannya kepada Allah setelah penghijrahannya. Dalam menunaikan hubungan dengan Allah dan Dolah digambarkan mencari rezeki sebagai penjual air, bersolat dan membaca kitab sebagaimana halaman dalam 274 berikut :
DOLAH sekarang bekerja menjual air. Nampak dia mengandar air ke sana ke mari. Ulang-alik, ulang-alik. Tidak jauh dari situ seorang perempuan yang bersentung duduk menjual anyam-anyaman. Pada sebelah malam, DOLAH bersolat atau membaca kitab... .

  Dolah juga terlibat dalam aktiviti kemasyakatan sebagai satu tanggungjawabnya dalam menjaga hablumminnas. Misalnya, Dolah terlibat dalam aktiviti pembinaan masjid.  Perkara ini digambarkan dalam petikan  278 berikut.
SITI RAHIMAH : Abang nak tolong sama-sama dirikan masjid itu ?
DOLAH : Abang akan membuat ukiran untuk pintu dan tingkap dan tingkap  masjid. Itulsh yang abang berikan. Anyaman-anyaman Imah, abang ingin jadikan reka bentuk hiasan yang akan abang pahatkan di pintu, tiang dan bahagian-bahagian lain di masjid
                                                                                
Berdasarkan petikan, Dolah telah mengakhiri hidup yang penuh penderhakaan dan kemungkaran serta kemunafikan kepada kehidupan yang tunduk dan patuh kepada Allah. Bentuk kesedaran ini memerlukan Dolah melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah selaras dengan patuh kepada perintah Allah selagi hayat dikandung badan. Justeru, Dolah telah membuat transformasi dan anjakan dalaman dari perspektif yang negatif kepada yang positif berlandaskan keinsafan dan tanggungjawabnya kepada Allah yang maha berkuasa.
Persoalan-persoalan
Drama ini  sarat dengan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan akidah dan akhlak sebagai seorang hamba Allah. Persoalan yang menyentuh aspek akidah dalam drama 1400 ialah kerapuhan iman kepada Allah. Orang yang beriman kepada Allah akan melaksanakan kewajipan-kewajipan ajaran Islam sebagaimana yang dituntut. Sebaliknya iman yang rapuh dan lemah akan menjerumuskan manusia ke arah kesesatan. Dalam drama ini, watak Dolah jelas memperlihatkan goyah dan rapuhnya iman yang menyebabkan Dolah terjerumus ke lembah maksiat. Dolah mudah digoda dengan kekayaan, harta benda dan kuasa dalam melangsungkan kehidupannya. Demi mendapatkan kekayaan, Dolah tidak mempedulikan sumber rezeki sama ada halal atau haram, mempersoalkan takdir Tuhan ke atasnya, dan mengabaikan solat yang diwajibkan ke atasnya. Hal ini jelas tergambar dalam perbualan Dolah dengan Soud seperti dalam petikan pada halaman 244 berikut :
SOUD : Kausembahyang, bukan ?
DOLAH : Apa kena-mengena dengan semahyang ?
SOUD : Kau sembahyang  tak ?
         DOLAH : Aku akan berusaha sendiri, Soud. Kau tengoklah. Dolah      
         capik ya! Kautengok, Soud, kau tengok.
                                                                  
Persoalan kerapuhan iman ini juga diperlihatkan oleh sikap terpesona dengan kebendaan dan kemewahan duniawi sehingga bertuhankan materialistik, iaitu menitikberatkan harta benda, wang ringgit, ingin berkuasa dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui watak Dolah yang mewakili golongan ‘Melayu Baru’. Tuan Dolah mengamalkan gaya hidup mewah. Tuan Dolah sesungguhnya mengambil berat tentang status dirinya. Beliau ingin membuktikan bahawa kekayaan yang baru dicapainya bukan sahaja untuk dirinya sendiri. Justeru khalayak umum perlu melihat kekayaan dan kemewahan itu. Beliau juga mula berfoya-foya dengan perempuan-perempuan, memikat sesiapa sahaja yang diidamkannya dan segala kemewahan perlu ditonjolkan. Misalnya dalam dialog Biar dia orang tahu, biar dia orang pandang. Apa kurang aku. Apa kurang pada kita, ya? (halaman 250).
Drama ini  turut memaparkan persoalan berkaitan akidah dari sudut yang positif. Noordin Hassan dalam drama 1400 turut menyuguhkan persoalan keimanan kepada Allah yang Esa melalui tokoh-tokoh agama yang berwibawa seperti Maulana, Pengucap dan Haji Sabri. Tokoh-tokoh agama ini jelas dapat menyampaikan syariat Islam melalui ucapan dakwah, penggunaan ayat al-Quran dan rangkapan puisi yang bertujuan mengajak kepada keimanan kepada Allah. Contohnya dalam halaman 244-245.
MAULANA : Allah menerangkan bahawa tiada Tuhan melainkan daripadaNya yang menegakkan keadilan dan disaksikan oleh malaikat dan ahli-ahli ilmu.

MAULANA : Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan sembahyang, kerana Allah berserta dengan orang-orang yang sabar.

MAULANA : Katakanlah kebenaran telah tiba, apa yang batil akan hancur, kerana yang batil itu memang akan lebur.
                                                                  
          Petikan di atas dapat menjelaskan suara lantang Maulana yang menyeru ke arah kebenaran dan mengajak manusia kembali kepada Allah, Tuhan yang selayaknya disembah. Kepatuhan kepada Allah akan membuktikan kebenaran dan sebaliknya.
 Selain itu, persolan akidah dalam drama ini turut berkisar tentang kepercayaan animisme yang masih berlaku dalam masyarakat Islam. Sungguhpun kebenaran tentang ajaran Islam sudah pun memasuki abad baharu, iaitu 1400 Hijrah tetapi kepercayaan primitif tentang animisme masih mempengaruhi pemikiran masyarakat. Drama ini, jelas memperlihatkan wujudnya kepercayaan karut melalui penggunaan azimat dan jin penjaga harta atau pembawa kekayaan. Kepercayaan karut ini berhasil mempengaruhi pemikiran anak muda seperti Dolah dan Doli malahan  menjadi kepercayaan yang diwarisi. 1400 memaparkan bahawa, mayat ibu Dolah memakai azimat dipinggangnya. Secara tidak langsung, Dolah mewarisi kepercayaan ini melalui ibunya. Azimat itu masih berguna sungguhpun ibunya telah meninggal dunia dan dengan jampi serapah pawang, kononnya azimat itu mendatangkan kekayaan kepada Dolah. Dolah juga menurut kata jin dengan tidak mengebumikan mayat ibunya mengikut lunas yang betul sebaliknya menanam mayat tersebut di bawah rumah. Dolah menceritakan punca kekayaannya kepada Doli seperti dalam petikan pada halaman 253 berikut.
DOLI : Dia suruh you buat apa ?
DOLAH : Jin tu kata, jika I mahu jadi kaya, I mesti berani. Dia minta azimat yang ibu pakai dipinggang. Kemudian, dia suruh I tanam mayat ibu di bawah rumah. Katanya, lain kali I tak payah pergi jumpa pawang lagi, dia akan datang sendiri pada I. Tunggu saja. Dia bagi juga mantera,  I boleh seru dia, kalau I mahu.
                                                                  
               Persoalan kesedaran akan kepentingan agama dalam kehidupan manusia turut dipaparkan dengan jelas dalam drama ini. Agama merupakan pembimbing dan petunjuk bagi manusia. Agama yang benar dalam drama ini ialah agama Islam. Maksud Islam itu sendiri dikaitkan dengan agama yang sejahtera, selamat dan menjadi penyelamat manusia ke jalan yang benar. Dalam drama ini, watak Intan Siti Rahimah sedar bahawa agamanya menghalang kemewahan yang melampaui batasan. Intan Siti Rahmah menegur dan menasihati Pak Tuan Dolah agar mengelak pembaziran dan tidak melakukan penindasan terhadap orang lain demi sebuah kekayaan. Petikan pada halaman 258 ini membuktikannya.
PAK TUAN DOLAH : Apa yang kurang ?
INTAN SITI RAHIMAH : Bukan kurang, terlalu lebih. Yang bukan-bukan. Malu pada Allah.
PAK TUAN DOLAH : Eh, eh, dari mana intan dapat fikiran ni semua? Jangan-jangan dari surau? Bukankah Tuhan suruh kita mencari kekayaan di dunia ini juga?
INTAN SITI RAHIMAH : Untuk diguna pada jalan Allah. Jangan membazir serta memerah titik peluh orang lain.
                                                                           
Petikan tersebut memperlihatkan bahawa Intan Siti Rahimah tidak senang dengan tindakan suaminya yang memiliki kemewahan dengan cara menindas orang lain. Sebagai manusia yang mentaati perintah Allah, tindakan suaminya tentulah bertentangan dengan ajaran agamanya. Pemikiran Intan Siti Rahmah memperlihatkan bahawa agama Islam menjadi pendinding kepada tuntutan nafsu yang melampau.
               Drama 1400 juga mengetengahkan isu keruntuhan akhlak dengan menjadi penghasut demi mencapai hasrat. Hal ini dikaitkan dengan sikap mementingkan materialistik. Manusia yang mendambakan kekayaan yang dipaparkan dalam drama 1400 ini merupakan manusia yang leka, lalai, runtuh akhlaknya dan seterusnya mengabaikan ajaran Islam. Atas dasar  meraih kekayaan, Watak Abu Lahab dan isteri digambarkan sebagai orang yang bertanggungjawab merealisasikan impian Dolah. Hal ini dipaparkan ketika Abu Lahab dan isteri dituduh di mahkamah terbuka oleh Pegawai seperti dalam petikan berikut  halaman 266  yang berikut.
PEGAWAI : Abu Lahab dan isteri dituduh memujuk orang-orang kampung, terutama sekali mereka yang hanya mementingkan diri sendiri, mengorek dan menjual tanah kepada Orang Di Kaya Tuan Dolah untuk membina ladang kudanya. Abu Lahab dan isteri mendapat upah yang lumayan. Isterinya bersubahat dengannya. Isterinya memujuk dan mengajar isteri-isteri orang kampung menggunakan muslihat keisterian memujuk dan memaksa suami-suami mereka mengorek dan menjual tanah kepada Orang Di Kaya Tuan Dolah... .

Berdasarkan petikan, demi mendapatkan upah yang lumayan, suami isteri ini sanggup menjadi penghasut dan tali barut supaya orang kampung tunduk kepada Dolah. Pengaruh dan hasutan isteri Pegawai           bukan sahaja memanifestasikan sikap mementingkan materialistik     sebaliknya yang lebih buruk lagi menggalakkan para isteri mengumpul dosa kerana sanggup memperdayakan suami mereka agar menjual tanah kepada Dolah yang akhirnya mendatangkan musibah kepada orang kampung sendiri.        
Keseluruhannya, drama ini menyampaikan falsafah Islam. Walau bagaimanapun, penerapan nilai-nilai keislaman yang disampaikan melalui seruan berhijrah ini bersifat sejagat dan relevan dengan semua agama di dunia. Setiap agama menyeru kepada kebaikan dan menolak kemungkaran. Dalam 1400 ini, intisari hijrah bermaksud proses transformasi secara internal untuk menjadi insan yang lebih berakhlak mulia dan akidah yang sempurna. Makna hijrah juga membawa maksud berubah dari segi karektor, nilai dan cara hidup.  Watak-watak yang berkelakuan buruk dan mungkar mula menyesal setelah menerima hukuman. Abu Lahab dan isterinya menyesal akan kesalahan mereka. Dolah diseru untuk bertaubat terlebih dahulu kemudian berhijrah. Dalam drama 1400, keimanan kepada Allah digambarkan melalui peranan watak-watak tertentu. Ada watak-watak yang ingkar kepada perintah Allah dan mensekutukannya seperti watak Dolah, Tuk Pawang, Abu Lahab dan isterinya sebaliknya terdapat watak yang menyeru kepada kebaikan seperti Maulana, Intan Siti Rahimah, Soud, Haji Sabri Musafir I dan Musafir II. drama ini ialah  menyampaikan mesej yang bermakna, iaitu  menyeru sesiapa sahaja agar beriman untuk meminta pertolongan daripada Allah dengan sabar, jangan mengikut nafsu dan sentiasa memanjatkan doa selain berpegang teguh pada ajaran agama. Mesej ini amat relevan disogokkan kepada generasi muda agar mereka tidak terjebak dalam unsur yang negatif sehingga mengundang musibah kepada diri mereka. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan modal insan yang selaras dengan aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan dapat menjadi kenyataan.


 


Hari ini...4 Julai

Hari ini...aku sudah berada di tempat penginapan yang baharu. Beginilah hidup perantau yang sentiasa mencari ruang untuk bernafas.

Mengapa terasa sunyi?
Sedangkan bunyi kenderaan melata di sana sini
Aku tetap rasa terasing
Di tengah keriuhan bandar
Di tengah kesibukan kota
Di tengah jutaan manusia








mencari ruang untuk mengisi hidup
persis sang unggas

Aku sudah di sini...
Maka akan ku teruskan nasib di sini
Walau kesepian menyusuk
Walau kesunyian memerangkap
Walau keterasingan bermaharajalela
Walau ribut melanda

Sudut yang memberikan motivasi