Monday 18 May 2015

Mendidik atau mengherdik????



Media Sosial : Bahasa Mendidik atau Bahasa Mengherdik?

Bahasa merupakan wahana atau medium yang berkesan untuk berkomunikasi atau berhubung dengan orang lain. Oleh itu, kita perlu memaparkan cara yang berhemah dan sopan atau menggunakan bahasa yang berlapik kerana bahasa melambangkan keperibadian dan citra diri seseorang. Hal ini perlu diberi penekanan yang sewajarnya dan mendalam khasnya dalam media sosial yang berfungsi sebagai penghubung dan merapatkan kemesraan antara satu sama lain. 
 Andreas dan Michael Haenlein (2010) mendefinisikan media sosial sebagai sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi web 2.0  yang membolehkan penciptaan dan pertukaran. Adakah fungsi ini benar-benar dimanfaatkan oleh pengguna media ini?
            “Biar muka tak cantik, tapi hati kena baik. Apa yang keluar dari mulut kita adalah cerminan peribadi kita.” Ungkapan ini sering berkumandangan di corong-corong radio khasnya Radio Sinar FM setiap hari. Seruan ini adalah sebagai peringatan agar setiap orang menjaga dan memelihara perkataan yang keluar dari mulutnya agar tidak menyentuh sensiviti pihak yang lain. Senario ini dibangkitkan kerana masyarakat kita suka menggunakan bahasa yang kasar, menghina, memaki hamun atau dengan kata lain menggunakan bahasa yang bersifat emotif untuk mengherdik pihak yang lain. Justeru, peribahasa kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana amat signifikan dalam situasi ini dan patut dijadikan ikhtibar sebelum mengeluarkan patah-patah kata.
            Media sosial yang popular seperti Facebook, Twitter, Myspace dan Plurk merupakan medium media sosial yang digunakan untuk berkongsi maklumat, komen, maklum balas dan penghubung silaturahim yang cepat. H. Kietzmann (2011) berpendapat bahawa media-media sosial ini amat  pantas capaian, tindakannya dan tanpa had. Kelajuan media ini menampakkan kejayaannya menandingi dan menggantikan media massa konvensional dalam menyebarkan berita-berita semasa. Namun, manfaat media-media  ini diselewengkan oleh sesetengah penggunanya kerana menjadikan medium-medium ini sebagai medan perlumbaan untuk meluahkan kemarahan dengan menggunakan bahasa yang bersifat emotif. Perkataan-perkataan seperti “jahanam”, “bodoh”, “bangang”, “anak haram” dan “haram jadah” menjadi mainan bibir segelintir daripada mereka yang menjadi penghuni aktif dan produktif laman-laman sosial ini apabila memberi respons terhadap sesuatu isu semasa yang berlaku.  Misalnya, isu global tentang kekejaman Israel terhadap penduduk Palestein, siapa yang tidak kasihan dan marah atas kekejaman tersebut? Namun perlukah diluahkan di laman Facebook “Jahanam Israel Zionis”? Hal sebegini sepatutnya tidak berlaku jika kita menjaga tutur kata kerana komen boleh diberikan dalam pelbagai bentuk yang lebih positif, misalnya digantikan dengan doa dan istighfar sebagai tanda kekesalan atas perkara yang berlaku.
Perkataan seperti “sial” menjadi mainan mulut sehingga langsung tidak berasa bersalah atau berasa malu ketika menulisnya dalam ruangan-ruangan berkenaan. “Sial” amat sinonim dengan perkataan “jahanam” yang biasa digunakan sebagai bahasa makian dan cemuhan yang kesat dan kasar. Selain itu, frasa “pergi mampus” juga sering digunakan sebagai tanda kebencian terhadap komen orang lain. Istilah “mampus” sinonim dengan “mati” yang biasanya digunakan untuk haiwan tetapi digunakan untuk memaki rakan yang sama-sama menjadi penghuni di laman-laman berkenaan. Penggunanya tanpa segan silu malahan dengan bangga diri yang tidak bertempat seolah-olah diri sebagai hero apabila dapat menyumpah atau mengutuk orang lain sebagai tanda protes. Kemarahan diekspresikan dengan menggunakan bahasa yang kesat agar komen dan kritikan itu lebih berkesan dan mendapat perhatian ramai.  Mungkinkah ini menjadi motif bahasa tersebut digunakan? Adakah tidak ada bahasa halus atau yang lebih sopan untuk menyampaikan protes? Penggunaan bahasa yang kasar dan kesat mencerminkan masyarakat kita suka mencarut dan menggunakan bahasa sebagai saluran untuk mengherdik bukannya mendidik.
Dalam memperkatakan hal ini, penulis ingin mengutarakan penggunaan perkataan “puii” khasnya dalam laman Facebook apabila tidak menyukai atau menyetujui pendapat orang lain. “Puii” merupakan tafsiran daripada perbuatan meludah ke dalam bentuk bahasa. Perkataan ini memberi gambaran yang kotor  sebagai  tanda marah kepada orang lain yang tidak sependapat dengannya. Seelok-eloknya perkataan “puii” tidak perlu diluahkan kerana perkara ini mencitrakan keperibadian yang negatif walaupun orang lain tidak mengenali siapa kita tetapi secara tidak langsung mengetahui begitulah keperibadian kita. Sesetengahnya suka menggunakan perkataan “jantan” dan “betina”, jika ditujukan kepada manusia juga tergolong dalam bahasa yang kasar kerana manusia disamakan dengan haiwan. Hal ini memberikan gambaran yang tidak sihat khasnya kepada generasi muda kerana generasi ini perlu dididik dengan  amalan yang sempurna. Jika masyarakat kita suka menggunakan bahasa yang bersifat negatif, bagaimanakakah kita hendak mendidik mereka menjadi pengamal bahasa yang baik dengan paparan bahasa yang mengherdik sebegitu?

Ringkasnya, masyarakat kita pada hari ini sudah tidak memelihara ciri-ciri ketimuran yang sarat dengan nilai-nilai mulia dan budi pekerti yang tinggi. Bahasa telah diangkat sebagai medium yang berperanan untuk menggabungjalinkan aspek pemikiran, kesopanan dan keintelektualan masyarakatnya agar bahasa sentiasa terpelihara kerukunannya. Media sosial yang diharap mendidik masyarakat sebaliknya mengajar untuk mengherdik kerana masyarakat tidak menggunakannya dengan saluran dan pendekatan yang betul.  Justeru, masyarakat harus mempunyai kesedaran yang tinggi dan kembali kepada akar umbi bangsa Timur yang mengutamakan nilai-nilai mulia dan kesopanan dalam berbahasa. Penggunaan bahasa dengan cara yang berhemah dan sopan dapat mencerminkan sosiobudaya, keperibadian yang mulia dan asal-usul seseorang selain memanifestasikan jati diri sesebuah bangsa yang bertamadun.

No comments:

Post a Comment