Sunday 10 May 2015

ISU ALAM SEKITAR DALAM CERPEN HUTAN RIMBA-ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU



Permasalahan dan Pelestarian Alam Sekitar : Manifestasinya dalam Cerpen Hutan Rimba

Homepage > Habitat Kodok > Hutan Rimba.jpg

Wikipedia dan Ensiklopedia Bebas mendefinisikan alam sekitar sebagai segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi atau sebahagian daripadanya. Oleh itu, alam sekitar dapat dibahagikan kepada dua unit utama, iaitu pertama unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa penglibatan manusia termasuklah antaranya tumbuh-tumbuhan, haiwan, galian dan batu-batan. Unit kedua pula merupakan unit sumber sejagat dan fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara, air, iklim, tenaga, cas elektrik dan kemagnetan. Unit-unit inilah yang harus dijaga dan dipelihara khususnya hutan rimba agar kewujudannya seimbang dan tidak terancam di muka bumi ini.
            Hutan merangkumi tumbuh-tumbuhan  yang membentuk suatu formasi yang didominasi pokok-pokok yang merujuk kepada seluruh komuniti tumbuh-tumbuhan dan haiwan termasuklah substrat abiotik (istilah perhutanan) atau persekitaran yang spesifik dan persekitaran atmosferanya. Justeru, pokok ibarat payung yang melindungi hidupan di bumi yang perlu dilestarikan kewujudannya. Isu inilah yang berlegar dalam cerpen Hutan Rimba (halaman 166 - 176) hasil buah tangan Sasjira yang dimuatkan dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku (2010). Cerpen ini mengetengahkan tema kemusnahan alam semula jadi akibat pembangunan. Aktiviti pembalakan atau penebangan hutan yang disertai watak  Pak Tua sebagai pemandu traktor jenama Carterpillar telah memusnahkan sejumlah hutan sehingga tapak tersebut menjadi kawasan pertanian dan estet. Fenomena inilah yang menyebabkan Pak Tua berkontradiksi dengan dirinya sendiri apabila dia mempersoalkan pekerjaannya yang telah mengakibatkan kemusnahan hutan malar hijau tersebut.
            Cerpen ini mengambil latar belakang Negeri di Bawah Bayu, iaitu sekitar Sungai Kinabatangan dan  Sandakan yang merupakan kawasan yang pesat dengan kegiatan pembalakan. Setelah 30 tahun berlalu, Pak Tua mengimbas kembali keperihan dan kesyukurannya atas kejayaan membesarkan anak-anak dengan pulangan rezeki sebagai pemandu traktor. Walau bagaimanapun, setelah suatu jangka masa Pak Tua menyesali pekerjaannya kerana tindakannya telah menyumbang ke arah kemusnahan hutan rimba.
            Isu kemusnahan alam sekitar merupakan isu yang bersifat universal dan di alami negara-negara lain di dunia termasuklah Malaysia. Dalam cerpen Hutan Rimba ini aktiviti pembalakan atau penebangan hutan telah menyebabkan habitat fauna dan flora yang kaya sebagai sumber semula jadi dan khazanah alam yang berharga musnah. Situasi ini berlaku apabila penebangan hutan secara berleluasa dijalankan sehingga mengakibatkan  kemusnahan tempat tinggal bagi tumbuhan dan hidupan liar tersebut. Tanpa tempat tinggal yang selamat, haiwan-haiwan ini akan mati dan seterusnya pupus. Gambaran kemusnahan hutan dan akibatnya terdapat dalam petikan (halaman 166) berikut :
           Setiap kali jentolak berwarna kuning itu bergerak ganas menindas dan menggilas apa-apa saja objek yang dilaluinya…Rotan, banir dan akar yang berjuntaian direntap kasar, tidak mampu menahan terjahan kenderaan berat itu. Kera dan monyet melompat lalu bergayutan dan lari meninggalkan habitatnya. Begitu juga dengan gajah, babi hutan, payau, dan kjiang, namun ada juga yang mati terjepit tidak sempat menyelamatkan diri. Seekor dua ular melata terjepit di celah gigi roda besi. Belum lagi soal mati katak serangga dan hidupan kecil yang lainnya. Ayam hutan dan burung-burung terbang membelah udara. Begitu lemah kepakan sayap akibat sesak nafas kerana terhidu asap hitam. Keruing, selangan batu, belian dan seraya dan aneka tumbuhan lainnya rebah menyembah bumi.
Berdasarkan petikan tersebut, kemusnahan hutan secara langsung memusnahkan survival dan habitat spesies hidupan tersebut dan natijahnya spesies ini akan mengalami kepupusan. Paparan dalam minda Pak Tua sudah cukup memberi gambaran betapa tragisnya kematian spesies ini akibat perbuatan rakus manusia. Gajah, ular, kijang dan serangga yang lain umpamanya, tewas di tangan jentolak yang tidak mengenal mangsa dalam sekelip mata.  Kayu-kayu yang berharga seperti selangan batu, belian, seraya dan keruing turut mengalami nasib yang malang dan seterusnya mengalami kepupusan. Sumber hutan seperti akar, rotan dan herba yang  menjadi sumber ubatan atau penawar bagi pelbagai penyakit turut mengalami kepupusan. Kemusnahan dan kepupusan, inikah  harga sebuah pengorbanan?
            Pencemaran juga merupakan natijah yang dibawa aktiviti pembalakan kerana bukan sahaja melibatkan kemusnahan dan kepupusan hidupan tersebut tetapi menyebabkan pencemaran. Aktiviti pembalakan mengakibatkan pencemaran bunyi dan udara. Bunyi jentolak yang mengaum dan membingitkan telinga (halaman 166) mencerminkan pencemaran bunyi yang boleh menjejaskan emosi dan pendengaran masyarakat di sekitarnya. Pencemaran udara pula, dapat dilihat dalam baris setiap kali itu pula cerobong yang semakin hitam itu akan menghembuskan kepulan asap yang juga tidak kurang hitamnya (halaman 166). Fenomena ini memberi implikasi yang buruk kepada atmosfera dan  mengancam nyawa unggas-unggas dan hidupan lain yang memerlukan udara yang bersih untuk bernafas.
            Isu peningkatan suhu alam turut berlaku apabila proses penebangan pokok  berleluasa. Fenomena ini menyebabkan Pak Tua semakin dihimpit perasaan bersalah dalam dirinya. Apabila pokok-pokok yang malar hijau menyembah bumi, maka hutan menjadi gondol dan terdedah kerana tiada lagi dedaun yang memayungi bumi. Akibatnya, alam maya menjadi semakin panas dan suhu semakin meningkat. Situasi ini dapat diteliti melalui peta minda Pak Tua yang mengatakan bahawa  Terik matahahri yang memanah kini menghangatkan maya. Dalam seketika sahaja hutan dara itu telah ternoda. Kini, hutan itu telanjang polos, sedangkan selama ini busana hijau menutupinya (halaman 167). Ekoran daripada itu, fungsi hutan untuk menyerap gas karbon dioksida dan membekalkan gas oksigen kepada hidupan di muka bumi hanya tinggal fungsi semata-mata. Justeru, peluang untuk menambah isi padu gas oksigen dalam udara akan berkurangan sebaliknya, gas karbon dioksida pula dalam udara akan terus meningkat sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan suhu. Peningkatan suhu seterusnya akan memberi impak kepada hidupan termasuk manusia dan alam dengan kejadian kemarau.
            Pencemaran sungai turut berlaku apabila aktiviti pembalakan semakin pesat. Keadaan ini berlaku disebabkan tanah merah yang berdebu akan menjadi basah dan berlopak pada musim tengkujuh antara bulan Oktober dan Disember. Arus deras berwarna merah lumpur akan membawa rakit-rakit balak ke muara (halaman 168)  yang terlayar dalam fikiran Pak Tua. Situasi ini pastinya akan menyebabkan hakisan tanah turut berlaku kerana tanah kekurangan sokongan dan tunjangan daripada pokok-pokok. Lanjutan daripada itu, sungai-sungai akan menjadi kotor, cetek dan berlumpur sebagai akibat pemendakan tanah lumpur di dasarnya. Fenomena ini akan menjejaskan hidupan yang lain seperti hidupan akuartik.
            Cerpen Hutan Rimba turut mengetengahkan isu pencemaran laut akibat perbuatan para nelayan yang tidak bertanggungjawab. Pada zaman mudanya Pak Tua telah terlibat sama dalam aktiviti pemusnahan hidupan laut di kampungnya. Mereka menggunakan bom buatan untuk mendapatkan ikan dengan banyak tanpa menyedari bahawa perbuatan mereka itu telah memusnahkan terumbu karang dan spesies hidupan laut yang lain. Apabila terumbu karang musnah akibat pengeboman ikan, maka secara langsung terumbu karang yang menjadi habitat bagi plankton turut musnah. Misalnya :
Kami tidak sedar bahawa perbuatan kami itu telah memusnahkan terumbu karang dan hidupan laut yang lain. Terumbu karang menjadi tempat kehidupan plankton yang menjadi makanan ikan. Terumbu karang memakan masa jutaan tahun untuk membesar dan sekali lempar saja telah ranap oleh bom buatan sendiri. Terasa dada Pak Tua meletup bersama terumbu karang itu (halaman 171).
Perbuatan para nelayan tersebut menyebabkan laut kehilangan khazanah yang amat bernilai dan berharga kerana proses pembentukan terumbu karang sangat memakan masa. Hal inilah yang menyebabkan Pak Tua sangat kesal dan menitiskan air mata keinsafan. Pak Tua insaf bahawa tanpa disedarinya dia telah terlibat dalam aktiviti pemusnahan alam, iaitu memusnahkan hidupan laut dan memusnahkan hutan rimba dalam keghairahannya mencari rezeki.
            Kekesalan dan keinsafan Pak Tua bukan hanya sesalan semata-mata kerana Pak Tua telah berusaha untuk menyeimbangi kemusnahan alam khususnya hutan. Pak Tua telah menjadikan tanah yang diwarisi daripada ibu dan bapa mertuanya sebagai hutan simpan.  Hanya sedikit daripada kawasan tanah tersebut digunakan untuk tapak rumah dan untuk dusun buah-buahan. “Bapa telah melestarikan harta warisan alam”, Bakar mencelah kagum (halaman 174). Anak-anaknya yang seramai empat orang telah berjaya dalam pelajaran hasil daripada pengorbanan Pak Tua sebagai pemandu jentolak. Setelah 30 tahun, Pak Tua berusaha menebus semula kekesalan dan perasaan bersalahnya terhadap kemusnahan alam. “Hanya dengan cara inilah bapa dapat menebus kesalahan bapa kerana pernah terlibat dalam pemusnahan hutan”, (halaman 174). Hutan simpan berfungsi untuk mengekalkan kepelbagaian biologi sesuatu kawasan selain  mengawal air larian yang berlebihan dan berkeupayaan untuk menakung air. Fungsi utama hutan turut berhubung rapat  sebagai tempat perlimpahan karbon dan juga membantu dalam membekalkan oksigen.
Anak-anak Pak Tua, iaitu Ajam, Bakar, Melati dan Budi pula berazam untuk menjadikan hutan simpan bapa mereka sebagai kawasan pelancongan seperti kawasan pelancongan Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah. Mereka menyahut seruan kerajaan, iaitu membangunkan kawasan pelancongan secara menyeluruh dan bukan tertumpu di pusat-pusat bandar sahaja. Oleh itu, kawasan luar bandar dapat dimajukan dan dijadikan kawasan pelancongan dengan pelestarian sumber aslinya. Kesinambungannya, konsep pembangunan lestari melalui hutan simpan yang dijadikan pusat pelancongan akan dapat diwujudkan apabila timbul kemampuan untuk memberi sokongan  memelihara sistem kehidupan sepenuhnya. Dalam konsep pembangunan lestari, penekanan diberikan kepada keseimbangan antara memenuhi keperluan manusia  dengan keupayaan  sistem semula jadi untuk membekalkan produk dan perkhidmatan tanpa degradasi. Penggunaan tanah yang efektif, pengurangan sumber yang tidak boleh diperbaharui, pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian sumber semula jadi menjadi agenda penting dalam konsep ini.  
Cerpen Hutan Rimba karya Sasjira ini bukan sahaja dapat diaplikasi untuk penghayatan terhadap karya sastera semata-mata dengan meneliti isu atau persoalan dan nilai mahupun unsur didaktiknya. Cerpen ini juga dapat dijadikan serampang dua mata, iaitu untuk penghayatan sastera dan untuk mengajar penulisan khasnya menulis karangan kerana isu yang diketengahkan merupakan isu semasa. Dengan kata lain, gabungjalin secara integratif dapat dilaksanakan dengan menggunakan bahan kreatif ini. Oleh itu, dicadangkan setelah selesai perbincangan tentang penghayatan sastera, maka hasil perbincangan yang relevan dengan isu alam sekitar boleh dijadikan isi-isi utama dalam penulisan karangan.

Dalam cerpen ini tadi telah dibincangkan isu-isu alam sekitar dan implikasi pembalakan yang pesat terhadap ekosistem alam. Oleh itu, isi-isi utama hasil perbincangan dapat disenaraikan seperti dalam rajah berikut :

Kesan pembalakan

Ø  Hakisan tanah dan tanah runtuh
Ø  Kepupusan habitat fauna dan flora
Ø  Pencemaran sungai/udara/bunyi
Ø  Kemusnahan kawasan tadahan air
Ø  Peningkatan suhu


Para murid boleh diminta untuk menulis karangan tentang kesan-kesan pembalakan dan hasil perbincangan yang disenaraikan sudah pasti dapat membantu para murid untuk menghasilkan sebuah karangan yang lengkap. Selain itu, berdasarkan cerpen ini juga, para murid boleh diminta untuk menulis tentang langkah-langkah penjagaan alam sekitar sebagaimana yang telah dikupas dalam cerpen ini. Antara idea utama yang dapat diketengahkan dan relevan  dalam cerpen ini berkaitan dengan langkah penjagaan alam adalah seperti berikut:



  
LANGKAH-LANGKAH YANG RELEVAN
 Berdasarkan perbincangan didapati cerpen ini sarat dengan unsur didaktiknya dalam menyemai kesedaran dan keinsafan agar setiap insan menghargai dan mencintai alam sekitar. Dalam Utusan Malaysia yang bertarikh 26 Mac 2011, tokoh alam sekitar terkemuka negara yang juga Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, environmentalisme atau alam sekitar menurut Islam adalah berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan yang menggabungkan manusia, alam dan Tuhan. Pandangan ini merupakan suatu representasi bahawa manusia harus melaksanakan misi atau amanah Tuhan untuk menjaga alam sekitar daripada kemusnahan dan mencerminkan betapa erat dan rapatnya hubungan manusia dengan alam sekitar. Watak Pak Tua dalam cerpen ini merupakan wakil kepada masyarakat yang sedar akan kepentingan alam sekitar walaupun pekerjaannya melibatkan kemusnahan alam sebagaimana kekesalan Pak Tua yang digambarkan oleh pengkarya. Oleh itu, cerpen ini akan dapat menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda akan kepentingan menjaga alam sekitar di samping dapat melahirkan generasi yang  peka akan permasalahan alam sekitar yang semakin tenat dewasa ini.
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita haruslah bekerjasama melakukan sesuatu untuk menyelamatkan alam sekitar kita yang indah ini. Persoalannya  adakah kita sudah bersedia dan sanggup melakukannya atau tidak? Kita seharusnya sentiasa berfikir adakah sesuatu yang kita lakukan itu wajar atau tidak wajar dan apakah kesannya kepada alam sekitar kita? Perkara yang paling penting ialah sikap, pemikiran, kesedaran yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan yang perlu dipupuk sejak kecil lagi oleh masyarakat, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Konklusinya, kita harus mengubah sikap kita supaya kehidupan kita akan lebih sejahtera. Setiap orang yang menginginkan kehidupan yang lebih sejahtera harus memainkan peranan yang proaktif dan progresif untuk memelihara dan melestarikan keseimbangan alam sekitar. (ARTIKEL INI TERBIT DALAM PELITA BAHASA KELUARAN BULAN FEBRUARI 2015)

Hutan rimba

1 comment:

  1. Terima kasih atas maklumat tersebut tentang isu alam sekitar.

    ReplyDelete