Saturday 28 March 2015

Sepetang di jalan TAR bersama-sama Aida dan Awang

Sepetang memesrai jalan TAR pasar malam, dengan Aida dan Awg. Tujuannya hanya untuk mencari makanan dan makan2. Dapat juga menyaksikan keriuhan kota dengan pelbagai ragam manusia...penjual dgn strateginya, pembeli dgn kerenahnya. Pelancong asing juga ramai dan cuba menikmati keunikan pelbagai makanan Malaysia. Tempat makan berlambak, tapi kena pilih dengan bijak......


variasi penyediaan aiskrim...tempurung kelapa

Daya kreativiti minda -mengangkat khazanah tradisi  menjadi sesuatu yang dihargai



Silap tempat-laksa yang tidak berjiwa

Silap pilih tempat makan...harga berasap makanan tak sedap. Apa nak buat? Ne pongan dah salah pilih, bayar sajalah. Laksa pun pun tak berjiwa....makan pun tak semangat...tapi rezeki terpaksa jua dimamah.

Thursday 26 March 2015

Menghadiri Siri Wacana Ummah di DBP-26 Mac

Semalam menghadiri siri wacana di DBPKL, merupakan program bulanan DBP. Wacana ini membincangkan asas2 dlm pembinaan negara sebagaimana dalam perlembagaan.

DBP KL
Kepentingan Perlembagaan Persekutuan ialah:
  1. Menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. Perlembagaan menentukan corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan.
  2. Menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan menentukan hak asasi rakyat seperti kebebasan bercakap, kebebasan beragama dan pemilikan harta. Perlembagaan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan.
  3. Perlembagaan juga menentukan tanggungjawab rakyat dan batasan atau larangan seperti hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak boleh dipersoalkan. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum.
  1. Memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi kepentingan semua kaum. Perlembagaan juga menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini dapat memupuk perpaduan nasional. (Sumber : pewariskeamanan.blogspot.com)




Peserta-peserta yang tekun dan khusyuk mendengar pembentangan Tan Sri


Monday 23 March 2015

Siri Perkongsian Ilmu-Pendekatan Moral dalam Daerah Zeni

Kertas kerja yang dibentang dalam kerja kursus semasa kelas sarjana di UKM-2009/2010. Semoga pembaca hasil penulisan ini mendapat manfaat sekali gus memaknakan perkongsian ini. Penulisan ini lahir daripada penghayatan, pengamatan penulis berdasarkan novel Daerah Zeni buah tangan Sasterawan Negara A.Samad Said.



Sekadar hiasan-kenangan d Korea Selatan


                                           Pendekatan Moral dalam Daerah Zeni


Kajian ini menggunakan  novel Daerah Zeni (DZ) karya Sasterawan Negara A. Samad Said. Novel ini telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984-1985. Kemunculan novel ini merupakan satu wawasan baru dalam penciptaan novel Melayu kontemporari kerana dikatakan menyimpang dari kelaziman khasnya dari segi teknik penceritaannya dan dikategorikan sebagai novel nouveau roman. Hal ini demikian  kerana novel ini mengetengahkan suatu konsep tentang penciptaan dan pembinaan novel baru yang berbeza dengan amalan penulisan konvensional (Fatimah Busu : 1992 : 82). Manakala Kamaruddin Abdul Rahman (1995: 33), menyatakan bahwa proses penciptaannya penuh dengan jungkar-balik  dan tidak mempunyai plot yang jelas. Penggunaan latar ruangnya juga  tidak tetap iaitu,  mencampuradukkan pelbagai latar masa seperti masa dahulu, kini dan masa depan. Novel seperti ini dikatakan rumit dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya kerana sebahagian besar pengolahan teks kelihatan begitu bebas. Namun yang membezakan teks nouveau roman ini dengan karya-karya konvensional yang lain hanyalah dari segi teknik penulisannya kerana isi dan pemikirannya masih berkisar tentang hal-hal kemasyarakatan.
            Mana Sikana (1990 : 21) dalam bukunya Sastera Melayu Moden ; Perubahan dan Tamadun, menyatakan :
          "Daerah Zeni suatu eksperimen A.Samad Said  yan   sangat berani menentang tradisi  penciptaan   novelnya yang dianuti sejak Salina tetapi pemikiran yang dipokokkan masih merakyat sifatnya".

Jelaslah bahawa walaupun novel ini mengalami pembaharuan, namun isi yang disampaikan masih berkisar tentang isu-isu yang berlaku dalam masyarakat  yang dapat dijadikan pengajaran dan pendidikan serta sesuai dengan latar zaman yang difokuskan pengarang. Kajian  ini akan menggunakan pendekatan moral dengan menganalisis tiga peringkat aspek pendekatan ini iaitu  pembicaraan isi karya (tema, persoalan-persoalan, pemikiran, mesej, motif,  falsafah dan premis),  aspek moral atau pendidikan (didaktis) dan nilai karya.

Pendekatan Moral
Menurut Atar Semi (1984), pendekatan moral bertolak dari dasar pemikiran bahawa sesuatu karya sastera dianggap sebagai suatu medium yang paling berkesan dalam membina moral dan keperibadian kelompok sesuatu masyarakat (Rahman Shaari:1994:72). Manakala Hasyim Awang (1998:9), memberikan pendapat bahawa teori moral timbul daripada tanggapan dasar bahawa selain menjadi objek alam, sastera juga kejadian alam berupa penghasilan ciptaan manusia. Di sini kejadian alam tidak lagi dlihat sebagai kewujudan berbentuk alat atau benda, tetapi kejadian peristiwa yang mengambil sifat pengalaman hidup. Dengan memiliki sifat sedemikian, sastera berupaya memberikan manfaat yang lebih jauh dan lebih dalam daripada fungsinya sebagai benda atau peralatan. Dalam konteks begini, sastera mampu menyingkap dan memberikan pengalaman kepada manusia. Pengalaman-pengalaman itu biasanya terdiri daripada dua perkara utama iaitu, peristiwa yang dilalui manusia (watak) tertentu dan maklumat yang berkaitan dengan manusia dan dunianya termasuklah kejiwaan, kepercayaan, kebudayaan, kemasyarakatan, kebangsaan dan persekitaran.
            Dalam perkara yang pertama, pembaca dan pengkritik memahami, turut merasakan, lalu mengkaji pelbagai ragam perlakuan serta kehidupan manusia yang tergambar dalam karya. Di sini terpancarlah pelbagai persoalan moral yang dapat diterokai dan dikaji oleh pengkritik. Bagi maksud ini, pendekatan moral dapat memenuhi sifat kesusasteraan Melayu yang berteraskan kebajikan dan ketakwaan. Perkara yang kedua pula memperlihatkan keupayaan dan keistimewaan sastera menjadi sumber ilmu pengetahuan. Sejak dahulu masyarakat Melayu sering menghubungkait konsep pustaka dan kepustakaan. Hal ini bermaksud sastera dapat menelurkan pelbagai pengetahuan, panduan dan nasihat. Berdasarkan tanggapan ini, sastera dapat dikaji dan dinilai peranan serta kemampuannya yang menjadi gedung sastera yang menampung ilmu pengetahuan dan pengajaran yang membawa kebaikan kepada manusia.
            Pendekatan moral lebih menekankan kepada penilaian moral dan hubungan budaya iaitu penilaian bercorak agama, kebudayaan dan falsafah. Penekanan dalam kritikan lebih kepada soal baik buruknya sesuatu unsur yang terdapat dalam sesebuah karya. Adakah unsur-unsur itu bertentangan dengan agama, kebudayaan dan falsafah. Unsur-unsur negatif akan dikecam sebaliknya unsur-unsur yang positif dan membina akan disanjung dan dipuji.
Sejarah dan Perkembangan
Dalam kritikan sastera, pendekatan moral ini boleh dianggap tua. Hal ini dapat dilihat melalui penyataan Wilbur S. Scott (1962) seperti yang dinyatakan oleh Rahman Shaari (1994 : 72):
                                    Of the various types of criticism practiced today,
                                    the moral approach has undoubtedly the longest
                                    history.


            Pendekatan ini telah digunakan sejak dari zaman Greek lagi. Pendekatan ini pernah digunakan oleh Aristotle, sementara Plato pernah menggunakan pendekatan ini dalam membuat penilaian puisi pada zamannya. Menurut Mana Sikana (2009 : 371), Plato dalam Republic sudah menegaskan betapa pentingnya moral dalam sastera dan meletakkan syarat bahawa mesej dan perutusan  harus ada dalam sesebuah karya kerana tanpanya karya itu tidak mempunyai pengertian.  Sasterawan Barat berpendapat bahawa hasil kesusasteraan yang baik mestilah bermutu, menggambarkan kebenaran dan memperlihatkan kesungguhan yang tinggi serta sesuai dengan iklim dan amalan masyarakat pada zaman itu. Dalam tahun-tahun 1950-an, golongan moralis adalah merupakan golongan pengkritik yang sangat aktif. Antara tokohnya adalah seperti D.H.Lawrence, John Middleon Murray, G. Ornell, F.R. Leavis, dan T.S.Elliot. Kebanyakan mereka berpendapat kritikan moral bergantung pada nilai baik dan buruk di mata masyarakat.

            Dalam zaman Kegelapan Eropah atau Dark Ages, telah muncul genre Morality Play, yang menceritakan kisah-kisah nabi daripada Bible, membicarakan tanggungjawab paderi di gereja dan mengemukakan cara-cara untuk memperbaik perangai manusia (Mana Sikana :2009:371). Karya sastera khasnya drama pada masa itu memberikan panduan kepada pengkaji untuk membina teori nilai dan sastera dalam kritikan sehingga prinsip kritikan ditentukan oleh isi dan moralitinya.  Kemudian muncul zaman Renaissance iaitu zaman Kebangkitan Eropah  yang meletakkan manusia mempunyai taraf lebih tinggi daripada haiwan dan yang membezakannya ialah sifat taakulan dan moralnya.  Pada zaman ini karya sastera harus menghidupkan watak yang benar-benar rasional dan bermoral. Oleh itu, terciptalah aliran humanisme atau kemanusiaan yang meletakkan manusia ialah pusat kehidupan alam yang bertaraf tinggi dibanding dengan makhluk yang lain. Ketinggian taraf manusia   itu   adalah  ditentukan  oleh  moral  dan  moral   itu   menentukan   manusia  harus
mempunyai peraturan, disiplin dan batasnya. Sejak dari itu, humanisme dan moral  mulai mendapat perhatian daripada para pengkritik berpendekatan moral untuk dijadikan dasar kritikan.

Definisi Moral

Moral dalam bahasa Latin disebut moralis, mos,  moris atau mores  merujuk kepada adat, istiadat,   kebiasaan,  cara,  tingkah  laku,  kelakuan,  tabiat,  watak,  akhlak  dan  cara  hidup (Lorens Bagus :1996:672). Maksud tersebut mempunyai beberapa pengertian iaitu moral dihubungkaitkan dengan kegiatan-kegiatan manusia yang dipandang sebagai baik atau buruk, benar atau salah dan tepat atau tidak tepat. Pengertian lain termasuklah unsur yang sesuai dengan peraturan atau prinsip yang diterima berhubung dengan yang benar, adil, cekap dan berkebajikan. Hal ini termasuklah kemampuan untuk menginsafi yang benar dan salah serta mendidik orang lain dengan peraturan yang sesuai sama ada tingkah laku itu betul atau salah semasa berhubungan dengan orang lain. Dengan kata lain, moral ialah unsur mendidik dan memberi pengajaran yang mempunyai nilai yang baik atau buruk serta menjadi dasar sesebuah karya sastera.

            Aspek moral melalui kesusasteraan sering dikemukakan oleh pengkritik yang bersikap komited terhadap masyarakat atau terhadap manusia seluruhnya. Para pengkritik moral berpendapat bahawa kesusasteraan sesuai dijadikan alat untuk mengajar dan mendidik masyarakat atau manusia agar menerima nilai-nilai yang baik. Oleh itu, pengkritik akan mencari nilai-nilai yang baik dalam karya sastera yang dikajinya dan jika nilai itu amat kurang maka pengkritik akan menegur dan berpesan kepada pengkarya agar menghasilkan karya-karya yang bermoral pada masa akan datang. Justeru  dalam pendekatan ini, sesebuah karya sastera yang baik itu harus bermoral.

            Dalam konteks dunia kritikan kesusasteraan, ditegaskan bahawa pendekatan moral itu bertolak dari dasar pemikiran karya sastera itu tanpa mengira genre apa pun dianggap sebagai sebagai wacana yang ampuh dan efektif dalam usaha membina moral dan keperibadian sesuatu kelompok masyarakat.  

Konsep dan Prinsip Menurut Muslim Burmat (1999), sebagai hasil sastera, apa jua  bentuk  tulisan  itu  harus  kita  bahaskan  dalam konteks sastera walaupun yang kita lihat
adalah moral. Hal ini subjektif kerana jika karya itu mementingkan stail atau gaya tanpa moral, isinya hambar dan tidak ada sumbangan kepada bangsa. Oleh itu, usaha mengarang mesti serius dan mesti lahir dari hati kita sendiri, bukan main-main.  Mudah-mudahan karya itu  berguna  kepada  bangsa  malahan  kepada  manusia  supaya  manusia  berkeadaan   baik, berfikiran baik dan berkelakuan baik serta bertindak baik dan sempurna. Itulah tujuan sastera yang membentuk moral (Arpan Shahbudin : 1999:93).

         Secara ringkasnya, ada  empat  konsep  dan  prinsip  utama kritikan pendekatan moral ini. Pertama,   pendekatan  moral  berpendapat   bahawa   hasil  sesebuah    karya  sastera  adalah
ciptaan yang harus disanjung dan dimuliakan. Seseorang pengarang bukan sahaja berbakat tetapi harus mempunyai visi, aspirasi dan perjuangan dalam penyuguhan karya. Karya yang baik harus bermoral dan keunggulan sesebuah karya bergantung kepada ketinggian moral dalam karya itu. Karya yang tidak mementingkan moral dianggap tidak bernilai (Mana Sikana : 2009 : 367).

            Prinsip kedua pula berkaitan dengan pendekatan moral yang mementingkan isi daripada bentuk. Aspek isi ialah cerita dan persoalan yang menjadi isu semasa. Pendekatan moral melihat karya sastera sebagai suatu sumbangan ke arah pembentukan masyarakat yang sensitif dengan zamannya. Perkara yang dipentingkan ialah isi yang hendak disampaikan dan bentuk hanyalah sebagai alat untuk menyampaikan isi atau moral.

            Seterusnya, prinsip pendekatan moral yang ketiga iaitu menganalisis sastera dari sudut didaktis. Didaktis merujuk kepada karya sastera yang mengandungi unsur-unsur pengajaran yang boleh menjadi panduan kepada pembaca. Dalam prinsip ini, kesusasteraan mempunyai tanggungjawab etika iaitu sebagai alat untuk memperbaik dan meningkatkan nilai moral masyarakat.

            Prinsip yang keempat pula mengandungi empat dasar melalui pendekatan ini. Dasar yang pertama berkaitan dengan karya sastera sebagai sumbangan bagi meninggikan tamadun bangsa.  Dasar kedua pula untuk membangunkan aspek-aspek kemasyarakatan. Manakala dasar yang ketiga pula berkaitan dengan usaha mencemerlangkan aspek pensejarahan sesuatu bangsa. Dasar  yang  terakhir  adalah  untuk memajukan  moral atau  akhlak secara universal.


Kaedah Kritikan

Ada empat kaedah kritikan dalam pendekatan moral ini. Pertama, sesebuah karya itu haruslah dilihat dari aspek isinya. Aspek isi  merangkumi tema atau isu utama, persoalan-persoalan, pemikiran, mesej, motif, falsafah atau propaganda dan akhirnya premis. Kesemua perkara yang meliputi isi karya ini akan dilihat pada peringkat awal kritikan.

            Peringkat yang kedua ialah perbincangan aspek moral karya. Aspek moral ini merupakan pendidikan atau pengajaran yang hendak disampaikan melalui karya. Perbincangan pada tahap ini akan menjurus kepada huraian-huraian berdasarkan peristiwa-peristiwa dan perwatakan watak-watak dengan melihat unsur didaktiknya. Selain itu, latar dan aspek bahasa juga boleh dibincangkan pada tahap ini untuk melihat moralnya. Setelah perbincangan perkara-perkara tersebut, baharulah disimpulkan unsur pengajaran dan pendidikan yang menjadi dasar moral terpenting dalam karya tersebut. Menurut Mana Sikana (2009 : 377), bahawa perbincangan di sekitar pendidikan atau moral ini menjadi inti kepada pendekatan moral.

            Peringkat yang ketiga pula adalah perbicaraan tentang nilai karya. Nilai ini berkaitan dengan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Nilai karya di sini dapat ditentukan oleh nilai keagamaan, kemasyarakatan dan nilai-nilai murninya. Dalam hal ini, perbicaraan juga perlu menentukan harga nilai tersebut berdasarkan isi atau isu yang dikemukakan dalam karya sama ada nilai isu itu penting atau tidak setelah dihubungkaitkan dengan aspek kontekstualnya.

            Manakala peringkat yang keempat pula membicarakan kesan atau pengaruh karya tersebut kepada  pembaca. Seseorang pengkaji pendekatan moral ini harus melihat faktor kesan iaitu sama ada moral itu dapat memberi kesan yang mendalam atau tidak  dalam jiwa pembaca. Kesan itu pula akan dilihat sama ada kesan jangka panjang atau pendek serta sesuai atau tidak dengan zamannya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pendekatan moral ini melihat isi teks dan memberatkan sudut pengajaran, nilai pengajaran dan kesannya kepada khalayak.

         
Latar Pengarang
Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said merupakan novelis, penyair, penulis cerpen, penulis esei/kritikan sastera, penulis skrip drama pentas dan penterjemah karya sastera. Beliau lahir di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935. Sejak kecil lagi (berusia enam bulan) keluarganya berhijrah ke Singapura. A. Samad Said mendapat pendidikan asas dan menengah di Singapura, iaitu di Sekolah  Melayu  Kota  Rajah  hingga lulus darjah IV dan  meneruskan  pengajian di Victoria Institution.   A. Samad Said telah   lulus   Senior  Cambridge  (1956)  dengan  belajar  sendiri.
            Minatnya dalam bidang penulisan, sejak awal lagi telah terkesan. Justeru itu, sekejap sahaja dia bekerja sebagai kerani di hospital dan kembali kepada dunia penulisan, iaitu sebagai pembimbing dan penulis untuk Majalah Rumaja. Rentetan pengalaman pekerjaannya menunjukkan lagi minatnya dalam penulisan, diawali sebagai penolng pengarang di akhbar Fikiran Rakyat., enam bulan kemudian menjadi penyunting majalah Mastika. Tumpuannya pada waktu itu lebih kepada penulisan esei kesusasteraan iaitu tentang pengarang-pengarang Barat, penulisan puisi, cerpen dan karya-karya terjemahan. Pada sekitar tahun 1960-an, beliau bertukar kerja di Berita Harian dan dilantik menjadi pengarang bersama-sama dengan A. Samad Ismail dan pernah dilantik menjadi penolong khas kepada pengarang kumpulan The Straits Times. Dalam dunia penulisan, genre terawal yang mula diceburinya ialah puisi. Novel merupakan genre yang terkemudian diceburi, namun membawa tuah kepadanya setelah novel “Gerhana” (1958) memenangi sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan diterbitkan pada tahun 1961 dengan judul Salina. Beliau menulis hasil dari pengalaman, pengamatan, pembacaan dan penelitian terhadap hal-hal yang berlaku di sekelilingnya.
            Novel  karya beliau yang lain adalah seperti Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri (1966), Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), Adik Datang (1980), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1992) dan Cinta Fansuri (1994). Novel DZ  dikatakan lahir daripada cita-citanya, mimpinya, rumah tangganya, kemahuan dan kebenciannya, kenangannya, sahabat dan para rakan serta telah bergumul dalam fikirannya sejak menulis novel Langit Petang yang diterbitkan pada tahun 1982.
            Pada tahun 1976, beliau mendapat penghargaan sebagai Pejuang Sastera daripada Kerajaan Malaysia kerana pencapaian dan sumbangan dalam  memperkaya  dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu. Tiga tahun kemudian (1979), Perdana Menteri melantik beliau sebagai salah seorang Panel Anugerah Sastera. Pada tahun yang sama juga beliau menerima S.E.A. Write Award daripada Raja Thailand. Anugerah Sastera yang paling tinggi di Malaysia telah dinobatkan kepadanya pada tahun 1985, iaitu Anugerah Sasterawan Negara. Anugerah ASEAN dari Negara Brunei Darussalam pula diterima pada tahun 1993. Selain pengiktirafan tersebut, beliau juga dianugerahi Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa  gelaran  Datuk  pada tahun  1997.  Pada  tahun  2003,  A. Samad Said dianugerahi Ijazah  Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan Persuratan Melayu) oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.
 
Isi karya

Walaupun novel ini berlatarkan dua latar masa iaitu sebelum merdeka (melalui manuskrip Lazri Meon sepanjang dua bab) dan selepas merdeka iaitu sekitar tahun 1980-an namun temanya  adalah tentang perjuangan untuk meneruskan kehidupan. Perjuangan masyarakat sebelum merdeka adalah perjuangan menentang penjajah  Inggeris yang menakluki Tanah Melayu. Watak seperti Lazri Meon (hidup dalam dua latar), Hamdar, Raja Dabet, Dol Zaleh, dan Mardi berjuang untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah.  Lazri Meon sendiri terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu  dan menganggotai UMNO serta  tetap dengan cogan kata “Hidup Melayu” pada masa perpecahan UMNO. Masyarakat selepas merdeka  seperti watak Zeni, Zedi, Lazri Meon, Mohdi dan Ehran juga digambarkan berjuang meneruskan hidup dengan cara yang tersendiri agar bebas daripada belenggu masalah   yang memerangkap mereka.

            Persoalan atau isu lain dalam novel DZ ialah persoalan kehilangan orang yang memberi sumber kekuatan dalam hidup. Lazri Meon kehilangan cermin dan sukar mengenali dirinya sendiri setelah kematian Fatiyah isterinya. Hal ini dapat digambarkan melalui petikan berikut:
                         “Dia menjadi cermin tulen kepadaku... Cermin tulen-ibumu
                         cermin tulen. Dan tiba-tiba cermin itu tidak ada. Dan ...aku
                         ...aku terpaksa kembali kepada   diriku sendiri.”
                                                                                            (Daerah Zeni:54)

Petikan tersebut menjelaskan bahawa Fatiyah dianggap oleh Lazri Meon sebagai cermin dalam  hidupnya.  Fatiyah   adalah  simbol   kebahagiaan    dan   kekuatan  Lazri  Meon  dan keluarganya. Kehilangan Fatiyah telah meranapkan hidup Lazri Meon dan dia tiada upaya untuk bertangungjawab kepada keluarga malahan hilang keyakinan diri. Lazri Meon menjadi penyepi dan hilang matlamat hidup walaupun sebelum itu dia merupakan pejuang, penulis dan pendebat yang hebat. Kematian Fatiyah turut menyebabkan aktiviti kehidupan Lazri Meon menjadi gelap dan beku. Lazri Meon berubah menjadi manusia pengkhayal dan hidupnya melayani angan-angan dan fantasi sebagai ganti kepada isterinya. Kedua-dua anaknya iaitu Zeni dan Zedi turut terkena tempias duka lara Lazri Meon akibat perubahan sikapnya. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan terbiar apabila ketiadaan ibu di sisi mereka.  Ayah  pula  tidak  berjaya  mengambil  peranan ibu dan masing-
masing mencari dunia yang tersendiri sebagai ganti kepada dunia yang telah hilang setelah ibu mereka meninggal dunia.

            Pengarang turut memaparkan  isu ketandusan kasih sayang dalam novel ini.  Masalah Zeni dan Mohdi adalah masalah membina kasih sayang. Zeni mengharapkan suaminya  iaitu Mohdi sebagai insan yang dapat memberikan kasih sayang kepadanya sebagai ganti kepada ibunya tetapi keadaan ini tidak berlaku kerana Mohdi bukanlah tempat yang sesuai untuk Zeni menggantung kasih. Lazri Meon pula benar-benar ketandusan  kasih sayang apabila isterinya meninggal dunia sehingga dia berada dalam kekeliruan. Sementara Zedi yang lumpuh terus tidak mendapat kasih sayang setelah ibunya meninggal kerana ayahnya tidak dapat bertindak sebagai pengganti ibunya. Ketiga-tiga watak menjadi mangsa ketandusan kasih sayang dan hanyut dalam arus kekecewaan.

            Isu keruntuhan rumah tangga akibat ketidakjujuran tidak dapat dipisahkan dari novel ini. Keruntuhan rumah tangga Zeni dan Mohdi menyebabkan Zeni cukup berhati-hati dalam membuat keputusan. Perkahwinannya dengan Mohdi menelurkan penderitaan yang maha hebat. Usia perkahwinan sepanjang tiga tahun itu membuat Zeni hidup terseksa kerana sikap dan perbuatan Mohdi yang kejam dan tidak jujur serta tidak mencintai rumah tangga. Mohdi telah menipu Zeni sebelum mereka berkahwin tanpa memberitahu yang dia sudah beristeri. Setelah setahun perkahwinan mereka rahsia itu terbongkar dan  Zeni hidup dalam keadaan menderita dan penuh kebencian kepada Mohdi. Bagi Zeni, hidupnya bersama Mohdi umpama dalam neraka dan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian.
Kebencian Zeni akibat perbuatan Mohdi dapat digambarkan seperti berikut:
                        “Aku ingin tembak  Mohdi betul-betul di  antara  dua   keningnya,”
                        Zeni berbisik, mengulangi kata-kata Raja Dabet, kecuali “penjajah”
                        digantikan dengan “Mohdi” tanpa disedarinya. Dia terbayangkan ...
                        “Setiap kali  mengingatnya, aku  terbayangkan neraka,”  bisik Zeni.
                                                                                                        (Daerah Zeni:95)

            Di samping itu, pengarang turut menyuguhkan persoalan memperalatkan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Mohdi mengaku yang dia mencintai Zeni dengan ungkapan ‘pagi petang siang malam,’ namun semua itu hanyalah alasan kerana dia hanya mahu memenuhi keinginan nafsunya sahaja. Dia  tidak  mencintai  rumah tangga sehingga  mengabaikan  isteri tuanya dan dua anak mereka di Perlis.  Di Haadyai, Mohdi telah berkahwin dengan seorang perempuan muda dan menetap di sana sehingga kembali semula untuk mendapatkan jandanya iaitu  Zeni. Mohdi berjuang untuk mendapatkan Zeni semula dengan menghidupkan hubungan abang ipar-adik ipar dan mendapatkan maklumat tentang Zeni daripada Zedi. Keegoannya tercabar apabila mendapat tahu yang Zeni didampingi seorang buruh binaan dan hal ini meningkatkan lagi keazamannya untuk mendapatkan Zeni dengan apa cara sekali pun sama ada secara lembut atau kasar.  Bagi Mohdi kejayaan mendapatkan Zeni adalah tanda kemenangan dan kebahagiaan tanpa mengambil kira perasaan orang lain termasuk mengancam Ehran iaitu jejaka yang meminati Zeni. Sikap Mohdi yang sedemikian dapat digambarkan melalui petikan berikut:
                        Sepanjangnya menjadi abang ipar, Zedi memang amat pengerti.
                        Mohdi tahu ini, dan dia yakin Zedi tetap mengerti itu juga.  Dia
                        menghidupkan semula hubungan lama adik ipar-abang  ipar itu
                        dan kemudian memancing sebanyak-banyak   rahsia  dan kisah
                        bekas isterinya.
                                                                                                (Daerah Zeni:91)

                        Isu lain yang terdapat dalam novel ini ialah kekesalan dan perasaan bersalah seorang suami kepada isterinya yang telah meninggal dunia. Lazri Meon insaf akan kesilapannya yang terlalu mengutamakan kongres dan perjuangan sehingga mengabaikan isteri dan anak-anaknya. Setelah isterinya pergi dia merasakan perjuangannya hanya sia-sia. Kekesalan ini disedarinya setelah dia kehilangan orang menjadi pendorong dan pemaham pada perjuangannya. Lazri Meon sedih dan kesal lebih-lebih lagi apabila dia tidak sempat membawa  isterinya  ke  Mekah semasa  isterinya masih hidup.  Dia turut insaf yang dia perlu memikul tanggungjawab pada anak-anaknya dan bukan sibuk melayani kegementaran hidupnya. Perasaan bersalah dan berdosa Lazri Meon dapat digambarkan melalui petikan berikut:
                        “Aku   benar-benar berdosa.  Patutnya  aku  tak  lebihkan
                        kongres. Itu dulu....Aku tak sangka dia akan meninggal....
                                                                                    (Daerah Zeni:123)

            Selain itu, pengarang juga memuatkan persoalan kekuatan dan ketabahan golongan yang cacat dalam menghadapi realiti dan menerima takdir hidup.  Hal ini dapat dilihat melalui watak-watak penghuni di rumah rawatan pesakit lumpuh seperti Zedi dan Zirah. Zedi pasrah dengan kakinya yang lumpuh akibat kemalangan dan tidak menyesali takdir. Malah Zedi mempunyai  kekuatan  untuk  meneruskan  hidupnya  dengan cara  yang  tersendiri  dan tidak mahu ayah dan kakaknya Zeni ikut menderita. Zedi mahu kakaknya bahagia dengan menerima Ehran sebagai teman hidup apabila Zeni mahu bertanggungjawab pada Zedi sebagai kakak sehingga mengabaikan perasaan Ehran. Watak Zirah yang lumpuh juga digambarkan tidak tunduk pada nasibnya. Zirah tidak meratapi nasibnya malah mengisi masa dengan membaca buku-buku agama termasuk manuskrip Lazri Meon dan menghadiri syarahan agama. Zirah memandang hidup dari sudut yang positif iaitu kekurangan bukan jalan untuk mengalah pada hidup. Orang kurang upaya seperti mereka semuanya berjodoh seperti hidup dan mati.

            Persoalan kepercayaan pada bomoh turut diselitkan dalam novel ini. Isu ini dapat dilihat dalam manuskrip Lazri Meon sepanjang dua bab melalui watak anak Asihah dan Mudir iaitu Bajer dan Rizi. Kedua-dua  mereka amat percaya pada tangkal yang diberikan oleh Bomoh Sakinah yang mempunyai ilmu perbomohan pada waktu itu. Mereka percaya yang mereka akan selamat dengan memakai tangkal pemberian bomoh itu. Keadaan ini menunjukkan yang Bomoh Sakinah mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat di sekelilingnya dan amat dipercayai serta dikagumi.  Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan berikut:
                        “Ada tangkal,” jawab Bajer, mencapai dan menunjukkan tangkal
                        hitamnya.  “Kata  Nenek  Kinah  semua  orang  takut  tangkal  ni.
                        Bajer ada tangkal, Rizi ada tangkal.” “Ya, kata bapa jangan takut.
                        Ada tangkal ,” Rizi menyokong.
                                                                                                    (Daerah Zeni:85)


       Isu kebencian pada penjajah juga dikemukakan pengarang dalam novel ini. Raja Dabet, Hamdar, Ansan, Mardi, Murdi dan Dol Zaleh amat membenci penjajah yang menyusahkan hidup mereka. Mereka terpisah daripada orang yang disayangi kerana kekejaman penjajah. Hamdar kehilangan ibunya sejak berusia dua belas tahun dan tidak tahu di mana kubur ibunya. Perasaan dendam dan benci pada penjajah juga digambarkan pada watak Raja Dabet yang sentiasa berlatih menembak kerana dia mahu menembak penjajah betul-betul di antara dua keningnya. Kebencian Raja Dabet kepada penjajah dapat dilihat melalui petikan berikut:
                        Tangannya yang erat memegang senapang itu semakin berpeluh,
                        hatinya semakin panas. “Aku ingin tembak penjajah betul-betul
                        tepat antara dua keningnya,” dia teringat kata-katanya sendiri.
                                                                                                (Daerah Zeni:69)

            Isu tuduhan dan fitnah boleh menganiayai hidup orang lain. Hal ini berlaku pada Dol Zaleh yang dituduh oleh Bomoh Sakinah telah meracun suaminya Kodri dan mati. Tuduhan Bomoh Sakinah telah menyebabkan Dol Zaleh mendapat malu dan tidak menetap di kampung itu kerana ada kalangan penduduk kampung yang percaya pada tohmahan itu. Dol Zaleh menafikan tuduhan itu kerana baginya perbuatan menyantau dan membunuh itu bukan perbuatan orang Islam. Tuduhan Bomoh Sakinah adalah bertitik tolak daripada kepercayaannya yang Dol Zaleh ingin membalas dendam kerana tidak berjaya mendapatkannya pada zaman muda mereka. Bomoh Sakinah tetap menuduh Dol Zaleh sampai ke hari matinya. Penafian Dol Zaleh pada tohmahan itu dapat dilihat dalam petikan berikut:
                        “Aku tak gunakan tuju-tuju, aku tak gunakan santau untuk bunuh
                        Kodri. Itu hanya fitnah, tohmah. Aku tak bunuh Kodri seperti toh-
                        mahan Kinah,” Raja Dabet terdengar-dengar penafian Dol   Zaleh
                        pada  Mardi.   “Orang yang beriman, yang takwa pada Allah,  tak
                        guna  tuju-tuju,  tak gunakan santau...”   Dol  Zaleh  terhenti. “Itu
                        bukan kerja orang Islam.”
                                                                                                    (Daerah Zeni:68)

            Novel DZ karya A. Samad Said ini juga mengetengahkan isu galakan membaca tanpa mengira seseorang itu sempurna atau tidak. Persoalan ini dapat dilihat melalui watak Lingko iaitu seekor burung kakaktua yang sering menyeru penghuni ramah pesakit lumpuh  agar pesakit lumpuh  membaca  dan  harus  kuat.  Seruan ini  sering  dijeritkan  Lingko apabila ada pelawat datang ke tempat itu.  Seruan ini sering diulang Lingko dan diingati oleh penghuni rumah itu seperti Zedi dan Zirah termasuk Egan walaupun selepas kehilangan Lingko. Lingko sering mengulang ungkapan berikut:
                           “Orang lumpuh mesti loncat! Orang lumpuh mesti baca!”
                                                                                          (Daerah Zeni:23)

            Persoalan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda juga dimuatkan pengarang dalam novel ini. Masalah ini dapat dilihat melalui watak Zamuri iaitu bekas tunang Zedi yang digambarkan angkuh dan sombong setelah mendapat pendidikan di luar negara. Zamuri digambarkan hilang pedoman kerana menganggap hidup terlalu mudah dan menyamakan kebebasan dengan wang. Bagi Zamuri janji mudah diputuskan dan itu adalah lumrah dalam kehidupan. Zamuri turut  memperalatkan  wanita  dengan wang dan mengamalkan cara hidup yang bebas. Dalam suratnya kepada Zedi, ia telah menyindir kehidupan derita Zedi akibat lumpuh dan menyakitkan hati Zedi. Bagi Zedi, Zamuri ialah insan yang tidak tahu perjuangan dalam hidup. Pendidikan tinggi yang diterimanya menyebabkan dia menjadi insan yang keras dan kasar jiwanya.

            Persoalan kebebasan lebih penting daripada kebendaan turut menjadi isu dalam novel ini. Ehran digambarkan watak yang memilih kebebasan hidup dengan berhenti kerja menjadi kerani dan menjadi buruh binaan. Ehran juga tidak sependapat dengan ayahnya sehingga hubungan dengan ayahnya menjadi renggang lebih-lebih lagi setelah mengetahui ayahnya berkahwin dengan gadis muda dan ibunya hidup dalam kesedihan. Sejak itu Ehran tidak mahu mengikut kehendak ayahnya dan menentukan jalan hidupnya sendiri dan bangga menjadi buruh binaan. Tindakan Ehran menyebabkan ayahnya tidak membahagikan harta kepadanya dan Ehran tidak menghiraukan wang kerana memilih kebebasan hidup. Pendirian Ehran dapat dilihat dalam petikan berikut:
                        Dan apabila ayahnya cuba menekankan kuasa dengan meminta
                        janji  dan  kesetiaan  darinya,  Ehran merasa  terkepung, terikat
                        malah terpenjara -  sesuatu yang  tidak  digemarinya.   Dan dari
                        segi kewangan barangkali dia  banyak rugi dan  akan terus rugi,
                        tapi Ehran lebih menghargai kebebasan.
                                                                                                (Daerah Zeni:60)

            Isu mencintai  alam sekitar tidak dapat dipinggirkan dalam novel ini. Watak seperti Mardi,  Raja Dabet,  Chenniah,  Hamdar  dan  Asihah  dan  Lazri  Meon  digambarkan  amat menghargai alam sekitar. Insan-insan ini mempelajari dan mengenal sistem berdasarkan akal dan rasa semala jadi sehingga menjadi pemikir dan pengamat alam sekitar. Mereka menghargai sistem alam dari yang kecil sehingga yang besar dan sedar yang sistem alam itu tidak boleh dimusnahkan walaupun yang kecil seperti rama-rama dan ulat apatah lagi pokok-pokok. Situasi ini dapat dijelaskan melalui salah satu petikan dalam novel DZ pada muka surat 17:
                        Dan tiga empat ekor burung terbang lesu dicelah-celahnya,
                        menambahkan  keindahan  jejeran  pokok  tersebut. Mardi
                        melepaskan kapaknya, mengekori burung-burung yang ber-
                        legar tenang dan indah  dicelah-celah cabang jejeran pokok
                        itu.  Dia  sungguh  terharu.  “Pohon-pohon pun bernyawa,”
                        dia ingat Mudir, abangnya berkata.


            Setelah meneliti persoalan-persoalan tersebut, maka pemikirannya memperlihatkan moral kehidupan masyarakat Melayu selepas dan sebelum merdeka yang sarat dengan konflik sama ada dalaman atau luaran dalam usaha meneruskan kehidupan. Masyarakat Melayu selepas merdeka diwakili watak-watak seperti Lazri Meon, Zeni, Zedi, Mohdi, Ehran dan Zamuri. Watak-watak ini mengalami masalah yang tersendiri sehingga sukar menemukan kebahagiaan dalam hidup mereka. Fikiran dan debat watak seperti Mohdi, Ehran, Zedi, Zeni dan Lazri Meon jelas menggambarkan dekad atau zaman mereka hidup. Mereka hidup dalam dekad negara sudah merdeka. Kemerdekaan negara perlu diisi dengan mempersoalkan masalah diri sendiri, menyelesaikan masalah diri sendiri, mencari keuntungan diri sendiri, rasa bersalah diri sendiri, perasaan berdosa pada keluarga sendiri tanpa melihat apa untung dan ruginya orang lain apatah lagi negara (A. Samad Said : 1991 :16). Misalnya watak Lazri Meon dikatakan mencari kebahagiaan dalam penderitaan kerana dia sengaja menghanyutkan dirinya dengan perasaan bersalah atas kematian isteri, kelumpuhan Zedi dan kehancuran rumah tangga Zedi. Mohdi juga berjuang mendapatkan haknya iaitu Zeni dengan cara yang tidak direstui Zeni namun Mohdi tetap menyatakan yang dia merupakan saingan yang berhak untuk mendapatkan Zeni. Manakala masyarakat sebelum merdeka berkonflik dengan penjajah yang sentiasa memburu dan menakutkan mereka. Misalnya Hamdar menjadi penghuni gerabak keretapi usang akibat diburu penjajah dan terpaksa melarikan diri dari kampung serta membakar rumahnya namun tetap meneruskan perjuangannya bersama-sama rakan yang lain.   Watak-watak yang  digambarkan  dalam  manuskrip  Lazri Meon  berjuang 
menentang penjajah demi sebuah kebahagiaan dan kemerdekaan. Mereka hidup sandar-menyandar dan tidak sahaja melihat kepentingan hidup sendiri malah negara. Fikiran-fikiran mereka menggambarkan zaman atau dekad pada masa penjajahan.

            Manakala mesej yang hendak disampaikan ialah kehidupan harus diteruskan walaupun kita terpaksa berjuang dengan cara yang tersendiri. Berjuang untuk hidup adalah hak individu dan hidup itu sendiri adalah perjuangan. Dengan kata lain perjuangan adalah sesuatu yang mesti jika mahu terus hidup. Misalnya masalah  ketandusan kasih sayang, penderitaan dan kehilangan harus diatasi oleh setiap insan yang menghadapinya. Lazri Meon mengatasi konflik dalam dirinya dengan menyendiri agar dapat mengenali dirinya di samping mencari harga diri yang hilang.  Manakala Zedi pula mahu menyelesaikan masalahnya sendiri dengan cara yang tersendiri dan  tidak mahu mendapat simpati serta campur tangan kakak  dan  ayahnya  walaupun  lumpuh kakinya. Zeni  pula  tetap  menjanda  dengan  alasan
mahu menjaga adiknya yang lumpuh dan cuba menangani sikap ayahnya yang berubah setelah kematian ibunya. Watak-watak dalam manuskrip Lazri Meon sepanjang dua bab itu pula berjuang dan bersatu untuk menentang penjajah demi sebuah kehidupan. Hamdar bertindak sebagai perancang dan perencana atas tindakan yang hendak diambil. Manakala Dol Zaleh pula melatih para pemuda termasuk Mardi dengan ilmu silat dan Raja Dabet digambarkan sebagai keturunan bangsawan yang tidak sabar untuk menembak penjajah.

                        Motifnya pula adalah untuk menyedarkan masyarakat  bahawa hidup bukan sesuatu yang mudah dan setiap insan harus kuat dan bijak merencanakan hidupnya. Perencanaan hidup yang tersusun akan dapat memajukan diri dan kita dapat memberi sumbangan sama ada yang kecil atau besar. Kegagalan dalam merencanakan hidup menyebabkan manusia terperangkap dalam penyendirian, kedukalaraan, kemurungan, kerawanhibaan, kemurungan dan keharubiruan seperti yang dialami watak Lazri Meon setelah kematian isteri yang dianggapnya cermin. Lazri Meon menjadi pengkhayal dan sukar menghadapi realiti (Shahnon Ahmad : 1986 : 56). Kegagalan dalam mengurus hidup juga menyebabkan seseorang bertindak di luar batasan norma dan nilai masyarakat demi mencapai hasrat dan tujuan. Selain itu, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dalam berjuang untuk hidup kerana ada insan lain yang memerlukan simpati dan timbang rasa daripada kita. Manakala falsafah karya ini ialah permasalahan dalam hidup harus diatasi agar kehidupan itu dapat  memberi  erti  atau  bermakna  sama  ada  kepada diri  sendiri atau  orang di sekeliling.  Premisnya pula ialah setiap orang harus berjuang mengatasi masalah yang dihadapi dengan cara yang  bijaksana dan  direstui   masyarakat   agar   dapat  meneruskan  kehidupan.

Aspek moral atau pendidikan

Aspek moral atau pendidikan dalam novel DZ ini akan dikaji melalui peristiwa-peristiwa  dan perwatakan watak-wataknya. Peristiwa penyepian Lazri Meon dan tindakannya menghilangkan diri dari rumah setelah dihantui perasaan bersalah dan berdosa kepada isterinya sehingga membingungkan anak-anaknya dapat memberi pendidikan atau pengajaran bahawa seseorang harus kuat dan tabah dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup. Kita harus menerima realiti bahawa kehidupan itu bukan sesuatu yang mudah supaya dapat membebaskan diri daripada masalah yang sering menghantui diri. Pengarang menggambarkan Lazri Meon sebagai seorang yang takut menghadapi realiti dan boleh dikatakan sebagai pengecut kerana tidak dapat menghadapi kegetiran ujian selepas Fatiyah meninggal dunia. Pada saat dirinya menghadapi hari tua dan anak-anaknya memerlukan kasih sayang   dan   perhatian   daripadanya,   dia  terus   menyendiri,   merintih  dan   hidup  dalam penyesalan dan keterasingan.  Situasi ini turut menyampaikan moral bahawa setiap tindakan yang hendak diambil perlu difikirkan kesannya kepada diri dan orang lain.

            Selain itu, peristiwa keruntuhan rumah tangga Zeni dengan Mohdi  dan penderitaan Zeni selama hidup bersama Mohdi yang tidak jujur menyampaikan moral yang penting kepada khalayak pembaca. Moralnya setiap perhubungan sama ada hubungan kekeluargaan mahu pun perkahwinan haruslah berlandaskan kejujuran kerana kejujuran amat penting untuk meraih kepercayaan daripada orang lain. Tanpa kejujuran, kepercayaan sukar untuk diraih malahan kita akan dipandang rendah oleh masyarakat yang mementingkan budaya ini dalam kehidupan. Penipuan dan sikap panas baran Mohdi menyebabkan Zeni hidup menderita seperti dalam neraka dan menganggap kata-kata Mohdi seperti pelakon yang berlakon di pentas teater. Perbuatan Mohdi itu menyebabkan keruntuhan rumah tangga mereka dan Zeni tidak dapat menerima  Mohdi semula walaupun dipujuk dengan pelbagai cara. Penolakan Zeni daripada menerima Mohdi memberi pengajaran kepada pembaca bahawa tidak semua kehendak kita akan tercapai di dunia ini walaupun kita menggunakan kekerasan. Kekerasan bukan jalan menyelesaikan  masalah  kerana cara ini akan  menambah kebencian dan penutup
pada jalan penyelesaian serta bukan budaya dalam masyarakat kita.

            Peristiwa atau kisah manusia lumpuh menghadapi kehidupan mereka dengan tenang dan tabah  menyampaikan  pendidikan  bahawa  kita  harus  pasrah pada takdir dan bersyukur
kerana masih diberi peluang untuk hidup walaupun kurang sempurna. Watak-watak yang lumpuh digambarkan pengarang memandang hidup secara positif dan mempunyai kekuatan dalaman. Zedi dan Zirah tidak pernah menyesali akan takdir atau menyalahkan sesiapa atas musibah yang menimpa hidup mereka dan terpaksa menjalani rawatan di rumah pesakit lumpuh itu. Moral ini dapat memberikan semangat kepada mereka yang senasib dengan Zirah dan Zedi dalam menghadapi kehidupan sebagai insan lumpuh. Hal ini turut mengajar pembaca agar menghargai kehidupan ini kerana kehidupan adalah anugerah yang amat bermakna dan beerti. Oleh itu, kita akan berjuang demi meneruskan kehidupan jika kita menerima takdir dengan redha.

            Di samping itu, peristiwa tohmahan dan tuduhan Bomoh Sakinah terhadap Dol Zaleh menyampaikan moral yang tidak kurang pentingnya  kepada  khalayak  pembaca.  Dol  Zaleh
terpaksa meninggalkan kampung halamannya dan hidup terasing daripada rakan-rakannya yang lain akibat fitnah itu. Moralnya perbuatan memfitnah dan membuat tohmahan harus dielakkan kerana perbuatan itu bukan sahaja menganiayai orang lain tetapi adalah salah di sisi agama Islam. Orang yang suka memfitnah ialah orang yang terpesong akidahnya dari landasan agama kerana perbuatan itu merupakan dosa besar dan perbuatan ini amat buruk di mata masyarakat. Malahan dalam agama Islam perbuatan memfitnah lebih besar dosanya daripada membunuh. Moral ini kekal sehingga ke akhir zaman bukannya pada zaman itu sahaja. Dalam agama Buddha, perbuatan memfitnah juga merupakan suatu dosa dan termasuk dalam lima larangan utama ajaran agama itu dan sesiapa yang memfitnah akan mendapat balasan dalam pelbagai bentuk. Jelaslah bahawa perbuatan memfitnah itu harus dijauhi oleh setiap orang supaya kita dapat hidup dalam suasana yang harmonis dan tidak ada insan yang teraniaya.

            Peristiwa penentangan dan kebencian masyarakat sebelum merdeka kepada penjajah yang dipaparkan pengarang dalam novel ini menyampaikan moral yang amat besar dan bermakna kepada masyarakat. Moralnya kita harus berjuang membela tanah air dengan menentang penjajah supaya dapat hidup bebas dan merdeka. Orang Melayu dalam novel ini bersatu menentang penjajah yang kejam dan mengancam ketenteraman hidup mereka.Namun ada  orang  Melayu  yang  menjadi  tali   barut  Inggeris  dalam   kesibukan   sebahagian  lagi merancang penentangan. Golongan yang menentang ini menggambarkan semangat dan cita-cita mereka yang besar untuk kepentingan tanah air.  Kehidupan yang daif tidak mematahkan
semangat juang mereka untuk menentang penjajah malahan mereka giat mempelajari ilmu silat dan ilmu batin sebagai usaha menentang penjajah yang mempunyai senjata api yang lengkap. Semangat juang yang tinggi ini harus disemai dalam diri masyarakat tanpa mengira zaman kerana semangat ini akan melahirkan generasi yang tidak mengalah pada sebarang penindasan dan penjajahan walaupun pada era kita sudah merdeka.

            Peristiwa watak seperti Lazri Meon, Mardi, Mudir termasuklah Mohdi yang mengagumi dan mencintai alam sekitar di sekeliling mereka dari yang kecil sehingga yang besar menyampaikan moral bahawa kita harus menghargai makhluk lain yang bernyawa kerana alam, haiwan dan manusia saling berkaitan dan bersebatian antara satu sama lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya watak Chenniah dan dua ekor burung gagak menggambarkan hubungan manusia dan haiwan yang amat rapat dan Chenniah digambarkan hilang  bersama-sama  hilangnya  kedua-dua  ekor  burung  gagak itu. Moralnya
juga benda yang sekecil manapun ada gunanya kepada kehidupan manusia. Pengajaran daripada peristiwa ini akan dapat menyedarkan pembaca khasnya generasi muda, pemaju, dan pihak yang berkaitan agar menghargai dan menyayangi alam sekitar. Pembangunan haruslah dirancang untuk mengelak kemusnahan walaupun pembangunan itu perlu. Hal ini kerana masalah kemusnahan alam sekitar merupakan isu global yang perlu ditangani untuk menjaga keseimbangan alam sekitar dan mengurangkan pencemaran. Moral ini juga dapat mendidik generasi muda agar menyayangi dan menghargai alam sekitar.

            Aspek didaktik atau pengajaran novel DZ juga dapat dicungkil melalui watak dan perwatakan dalam novel ini. Watak pertama yang dilihat dalam kajian ini ialah watak Zeni. Zeni mempunyai sikap tidak mudah mengalah pada kehendak orang lain atau tidak termakan pujukan. Misalnya Zeni tidak tunduk dengan kehendak Mohdi yang mahu kembali semula kepadanya. Ancaman dan ugutan Mohdi tidak melemahkan semangatnya dan dia tidak berganjak dari keputusannya menolak Mohdi. Malahan kegagalan rumah tangganya bersama Mohdi telah menjadikan dia seorang yang berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menerima Ehran yang digambarkan jujur dan tidak mempersoal kejandaan Zeni. Zeni menjadi seorang yang bijak, tidak terburu-buru, waras, melawan, pandai berhujah dan defensif  bagi  mengelak  dirinya  daripada  mencecapi  jadam  rumah tangga bagi kali kedua.

            Moralnya  seseorang   haruslah  berhati-hati  dalam  membuat  keputusan  kerana   kesilapan
membuat keputusan dapat memusnahkan masa depan. Pengajaran ini sangat penting  kerana hampir setiap hari kita membuat keputusan dalam menentukan arah kehidupan kita. Dalam membuat keputusan, kita juga memerlukan pendirian yang tegas supaya keputusan yang dibuat tidak diperkotak-katikkan oleh orang lain. Kebijaksanaan dan sikap berhati-hati Zeni ini perlu dicontohi dan dibudayakan dalam kehidupan masyarakat yang sezaman dengannya dan masyarakat pada akhir zaman.

            Watak Zedi yang lumpuh diberikan pengarang kekuatan dalaman yang luar biasa dalam mengharungi hidupnya. Kaki yang lumpuh dan terpaksa berkerusi roda, kehilangan ibu, kehilangan tunang, gangguan Mohdi terhadap kakaknya, perubahan sikap ayahnya dan cemuhan Zamuri kepadanya tidak meninggalkan kesan kepadanya. Malahan Zedi berpendapat yang penderitaan tidak patut dikongsi oleh semua orang dan dia tidak mahu dimanjakan oleh kakaknya. Zedi mahu kakaknya berkahwin dengan Ehran agar  dapat  menemukan  kebahagiaan hidup    dan  tidak payah  risau akan dirinya  yang  telah  menerima
kelumpuhan dengan pasrah dan sebagai takdir yang tidak dapat dihindarkan. Pengarang menggambarkan Zedi lebih realis dalam menerima kenyataan hidup dan menasihati kakaknya agar tidak mengalah pada apa sahaja keadaan. Moralnya kita harus cekal dan pasrah menerima takdir hidup. Keredhaan menerima takdir akan memberi kekuatan dalaman kepada kita untuk berjuang meneruskan kehidupan. Kecekalan watak Zedi menghadapi segala kekusutan dan masalah dengan caranya sendiri bukan sahaja dapat memberi kekuatan kepada golongan senasib malah mereka yang sempurna sifatnya. Dengan kata lain, kehidupan harus diteruskan kerana kehidupan itu amat berharga.

            Pengarang novel ini turut memberikan moral yang positif melalui watak Ehran. Ehran digambarkan seorang pemuda yang jujur dan ikhlas pada pandangan mata Zeni dan berterus terang tentang keinginannya untuk menjadikan Zeni itu isterinya walaupun Zeni itu diumpamakannya sebagai wanita yang tidak berpintu dan bertingkap. Ehran tidak mempersoalkan kejandaan Zeni walaupun Zeni sering mengingatkannya tentang hal itu malah melihat keajaiban dalam diri Zeni sebagai wanita. Moralnya sikap jujur dan ikhlas kepada orang lain akan memudahkan seseorang mendapat kepercayaan dalam usaha mencapai sesuatu yang diingini.  Moral ini penting dalam kehidupan manusia kerana manusia yang ikhlas dan jujur bilangannya agak kecil di dunia ini.  Kita  harus  mempertahankan sikap ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ehran juga digambarkan mempunyai falsafah hidup yang tersendiri iaitu orang yang berilmu adalah orang yang besar dan dia mahu memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan dengan membina bangunan menggunakan tangannya sendiri. Ehran melihat penglibatannya sebagai suatu cita-cita membina bangsanya dan mahu menyumbangkan sesuatu yang lebih besar untuk bangsanya. Oleh itu, dia telah berhenti kerja sebagai kerani dan menjadi buruh binaan. Moralnya kita harus memberi sumbangan kepada bangsa dan negara tanpa mengambil kira peranan itu kecil atau besar. Mereka yang berperanan sebagai buruh binaan walaupun berjawatan kecil tetapi memberi sumbangan yang besar kepada negara dan bangsanya dalam pembangunan. Situasi ini akan dapat menyedarkan masyarakat khasnya generasi muda yang hanyut dengan arus pemodenan supaya memberikan sumbangan yang bermakna kepada bangsa dan negara.

            Watak Fatiyah yang hanya muncul melalui fantasi Lazri Meon digambarkan dengan amat berkesan dan berpengaruh dalam novel ini. Kekecewaan, kesedihan, keterasingan, kehilangan  kasih  sayang  dan  kehilangan  cermin  termasuk  matlamat  hidup   seperti  yang
dialami oleh Lazri Moen adalah penangan watak Fatiyah yang telah tiada. Fatiyah adalah simbol keharmonian dan kebahagiaan, sumber perjuangan, pelindung dan pemaham bagi Lazri Meon dan anak-anaknya. Kematian Fatiyah telah meranapkan keluarga ini sehingga terpaksa berjuang untuk meneruskan hidup dengan cara tersendiri. Lazri Meon amat berdosa kepada Fatiyah dan sentiasa menyesali perbuatannya yang mengabaikan isteri dan anak-anaknya kerana mengutamakan perjuangan. Moralnya di sini ialah kita haruslah menghargai pengorbanan seseorang itu semasa keberadaannya di sisi kita kerana kelewatan menyedarinya akan membuatkan kita menyesal. Moral ini mengingatkan setiap insan bahawa jangan leka dan lupa pada orang di sisi kita walaupun kita mempunyai tugas yang besar kerana kehilangannya akan membuat kita menyesal suatu hari nanti. Hal ini bersesuaian dengan pepatah lama dalam kehidupan masyarakat iaitu ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’.

            Lingko yang merupakan watak bukan manusia dalam novel ini turut menyampaikan moral yang positif. Lingko digambarkan peka akan alam di sekelilingnya sehingga timbul niat untuk memberi nasihat. Suara Lingko ialah suara pengarang untuk menggalakkan masyarakat membaca pada dekad mengisi kemerdekaan. Seruan ini diulang beberapa kali dalam  novel  ini melalui  watak  Lingko iaitu   “Orang lumpuh   mesti loncat!  Orang lumpuh mesti  baca!”.   Moralnya  setiap  orang   harus   membaca  kerana  amalan   membaca   akanmenambahkan ilmu pengetahuan tanpa mengira orang itu sempurna atau tidak. Amalan membaca samalah seperti kita menuntut ilmu yang perlu dilakukan sepanjang hayat untuk meningkatkan kecelikan dan tahap pendidikan. Amalan dan galakan membaca sudah menjadi agenda nasional dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Satu lagi moral yang ingin disampaikan Lingko ialah golongan yang kurang bernasib baik harus kuat dan cekal dalam menghadapi hidup. Kedua-dua moral ini sangat penting dalam kehidupan  setiap insan yang mahu maju dan berjuang meneruskan hidup.

            Novel ini  tidak  ketinggalan dalam melantunkan moral yang negatif melalui watak Mohdi dan Zamuri namun dapat memberi sempadan kepada pembaca yang sikap-sikap negatif tidak harus diikuti dan dicontohi. Mohdi digambarkan sebagai seorang yang degil dan mahu mendapatkan sesuatu secara paksa tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mohdi sanggup bergaduh, mengancam dan mengugut demi kemenangan mendapatkan bekas isterinya. Oleh itu, Mohdi telah mengugut Ehran agar melepaskan Zeni dan  menggertak Zeni
yang dia masih saingan yang hak untuk mendapatkan Zeni. Keegoannya tercabar apabila dia tahu Ehran hanyalah seorang buruh binaan dan dia tidak akan mengalah dengan seorang buruh binaan. Mohdi menilai seseorang melalui status tanpa memikirkan masih ada manusia di alam ini yang mementingkan kesucian hati. Mohdi juga memandang rendah pada wanita dan menganggap wanita seperti bola yang harus dikejar jika mahu mendapatkannya. Dia juga sanggup menggunakan jalan kotor demi mendapatkan wang iaitu dengan menipu pihak tertentu. Pengarang melukiskan Mohdi ini sebagai insan yang tidak bermoral dan falsafah hidupnya adalah kemenangan harus dicapai walau dengan apa cara pun. Prinsip yang negatif ini bertentangan dengan budaya dan norma dalam masyarakat. Namun pengarang tidak memberikan hukuman   kepada watak Mohdi yang banyak menyakitkan dan membuat hidup wanita menderita. Bagaimanapun penolakan dan pengukuhan sikap melawan dan tidak mengalah Zeni merupakan  hukuman  pada watak Mohdi. Zedi turut menyokong kakaknya agar jangan mengalah pada apa jua keadaan termasuk menuruti kehendak Mohdi. Jadi Mohdi tidak akan dapat memiliki Zeni semula kerana kemungkinan Zeni akan menerima Ehran. Tambahan pula Lazri Meon sendiri menyuarakan kebanggaannya pada Ehran walaupun seorang buruh binaan dan situasi ini menggambarkan yang peluang Mohdi memang tertutup untuk memiliki Zeni semula. Perwatakan Mohdi ini mengantar pengajaran bahawa perbuatan jahat harus dielakkan  kerana  perbuatan itu pasti akan  mendapat balasan suatu hari nanti dan
perbuatan  ini  melanggar  norma-norma  dan nilai dalam  masyarakat yang berbudaya mulia.

            Watak Zamuri dalam novel ini dibiarkan pengarang lepas bebas dengan cara hidupnya yang tidak bermoral. Zamuri yang menuntut di luar negara digambarkan cepat terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat dan hilang pedoman. Oleh itu, Zedi menggambarkan watak Zamuri sebagai manusia yang berubah sebelum keadaan berubah dan dia cepat diwarnakan oleh keadaan. Ilmu pengetahuan yang dituntutnya  menjadikannya bongkak dan tidak berperasaan. Walaupun berpendidikan tetapi tidak membangun dari segi akhlak dan sahsiah sebaliknya mengalami keruntuhan akhlak dan moral. Watak ini tidak memiliki perasaan halus seperti simpati, bertimbang rasa dan dukacita kerana jiwanya sudah menjadi kasar dan berkarat oleh materialisme. Zamuri menyamakan wang dengan kebebasan dan  memperalatkan wanita yang mahukan kemewahan hidup. Perbuatan Zamuri dalam novel ini bukan sahaja bertentangan dengan budaya malah bercanggah dengan ajaran agama Islam. Watak Zamuri langsung tidak mendapat sedikit pun hukuman dan pengarang membiarkan  watak  ini   hilang   pedoman  hidup dan  tiada  keimanan.  Situasi  ini berkaitan dengan realiti kehidupan di dunia ini yang tidak semua kejahatan yang dilakukan akan mendapat balasan dengan segera. Hal ini demikian kerana dalam ajaran Islam, jika seseorang yang jahat itu tidak mendapat balasan di dunia, maka dia tidak akan terlepas daripada balasan  di akhirat nanti. Moralnya di sini setiap perbuatan jahat akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat nanti kerana semua perbuatan manusia akan dihisab sama ada yang baik atau buruk. Moral ini dapat mengingatkan  dan menyedarkan pembaca agar menjauhi perkara yang keji dan bertentangan dengan ajaran agama dan kita harus ada pegangan dalam hidup walau di mana kita berada.

            Manakala watak Raja Dabet, Hamdar, Lazri Meon dan Mardi digambarkan mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan tanah air dan menentang penjajah. Lazri Meon sendiri berkorban dan sibuk dengan perjuangannya menuntut kemerdekaan melalui UMNO. Raja Dabet, Hamdar dan Mardi yang mewakili masyarakat pada zamannya bersatu menentang penjajah dengan merancang proses penentangan mereka dengan teliti. Watak-watak yang biasa dan kecil ini berjiwa besar dan diberikan pengarang kelebihan yang luar biasa untuk meneruskan perjuangan mereka  menentang penjajah.   Sikap begini dipandang tinggi dalam budaya masyarakat kita kerana mempunyai sumbangan yang besar kepada tanah air. Pengajaran yang dapat kita simpulkan daripada perwatakan watak-watak  ini  ialah  semangat  juang  yang  tinggi    menentang  penjajah  harus  ditanam  dalamsanubari setiap orang agar kita dapat menjadi bangsa yang bebas dan merdeka.  Moral yang murni ini harus dibudayakan dan disemai kepada setiap anak bangsa supaya dapat menyedark an mereka dan meningkatkan semangat cinta akan tanah air.

            Watak-watak seperti Pon Raini dan Maneerah misalannya, walaupun berperanan kecil dalam novel tetapi mempunyai cita-cita dan cita rasa. Pon Raini merupakan ketua badan belia dan pernah bergiat membantu calon pilihan raya serta bercita-cita untuk bertanding dalam pilihan raya. Manakala watak Maneerah pula merupakan penghidup tempat menunggu bas kerana suka membaca rakaman seseorang untuk dirinya. Moralnya kepada masyarakat ialah siapa pun kita, maka harus memberi sumbangan kepada bangsa dan negara daripada menjadi pengkhianat bangsa. Moral ini amat sesuai disuguhkan kepada pembaca khasnya pada zaman kita dituntut  mengisi kemerdekaan.

            Rumusannya, dasar moral atau pendidikannya ialah setiap insan harus bangkit dari belenggu dan masalah kehidupan semalam agar terus cekal, kuat dan maju seiring dengan pembangunan negara yang sezaman  dengannya serta  dapat memberikan  sumbangan yang bermakna. Kita  tidak  boleh  terus  berkhayal  memikirkan  kesudahan nasib tetapi harus meningkatkan keyakinan dan jati diri agar hidup lebih bermakna dan beerti. Namun dalam usaha meneruskan perjuangan hidup, kita tidak boleh memikir dan mementingkan diri sendiri sahaja sehingga lupa landasan, moral, dan pegangan dalam hidup. Dalam negara yang baru berkembang selalunya masyarakat keliru tentang norma  sehingga sukar memilih yang mana betul dan salah. Anggota masyarakat hilang pegangan sehingga tidak segan silu melakukan perbuatan keji dan menghalalkan cara (Abdullah Hussain :1997:141). Kita memikirkan perasaan kepentingan orang lain serta tidak leka dengan tanggungjawab terhadap alam sekeliling kerana manusia dan alam saling bergantungan untuk kelangsungan hidup. Moral-moral yang terkandung dalam novel ini memberi pengajaran yang bermakna kepada anggota masyarakat khasnya pembaca.

Aspek nilai karya
Aspek nilai karya akan  dilihat  berdasarkan  nilai  keagamaan,  kemasyarakatan, nilai murni dan isu yang mempunyai nilai yang tinggi dalam karya ini.  Nilai keinsafan dimuatkan pengarang dalam novel ini. Lazri Meon digambarkan insaf akan kesilapannya yang lalu. Dia pernah  menghalang  Zed dan  mahu memilih jodoh untuk Zedi.  Tindakan  Lazri  Meon ini dibayangi oleh budaya masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang menentukan jodoh untuk anak-anak mereka. Namun setelah keretakan rumah tangga Zeni, dia insaf dan memberi peluang untuk anak-anaknya memilih sendiri. Lazri Meon mengaku yang dia tidak mampu menyelami hati generasi muda dan memberi kebebasan kepada anak-anaknya memilih jodoh mereka. Dia juga insaf bahawa hidup bukan sesuatu yang mudah dan mesti kuat untuk menghadapinya. Hal ini terbukti melalui kata-kata Lazri Meon dalam petikan berikut:
                        Tapi, sehari kemudian Lazri Meon juga yang kelihatan cuba tegap
                        dan  sedikit  tenang  berkata: “Semua  akan  berakhir  begini. Kita
                        mesti  sentiasa  insaf  hidup  bukannya  senang  seluruh.  Bila-bila 
                        masa ada kekalahan. Kita mesti kuat.”
                                                                                                      (Daerah Zeni:109)

Keinsafan  watak ini menggambarkan berlakunya perubahan dalam dirinya untuk mempunyai kesedaran dan kekuatan menghadapi masalah dalam hidup.Oleh itu, setiap insan yang melakukan kesilapan harus insaf. Nilai ini dapat mengajar pembaca agar menginsafi setiap kesalahan yang dilakukan  kerana amalan ini amat terpuji dan mulia di sisi masyarakat.

            Ada pihak yang berpendapat bahawa pengarang novel ini meringankan peranan agama dan bebas dari segi kepercayaan dan akidah. Namun hal ini disangkal oleh A. Samad Said dalam bukunya Bersama Samad ke Daerah Zeni  pada halaman 140-141:
                        “Saya  tak ingat, siapa itu,  pernah   mengatakan  bahawasanya
                        Lazri Meon itu   seorang yang kacau, yang tidak dapat kembali
                        ke agama.  Insan-insan saya tidak  cuba untuk kembali  kepada
                        Tuhan dan agama. Tapi itu tidak benar,  sebab bagi orang yang
                        berkata begitu , kembali ke agama itu harus kembali dan ditun-
                        jukkan langkah satu persatu, tapi bagi saya dengan imbasannya
                        sudah   mencukupi.  Lazri Meon  seorang   yang   sembahyang
                        sebenarnya”.

Petikan  tersebut  jelas  membuktikan bahawa novel ini ada memaparkan nilai ketakwaan dan
beribadat kepada Allah.   Lazri Meon   digambarkan   bersolat  semasa  mengunjungi  Zeni di
rumah. Semasa menyepi, dia  tinggal di rumah  kawannya di sebelah  madrasah dan membaca
kitab-kitab agama lama dan baru. Madrasah itu ialah tempat untuk belajar agama dan sudah pasti  Lazri  Meon ada  mengikuti  kelas agama di situ.  Manakala  watak-watak seperti Zeni, Zedi, Hamdar, Mardi dan Dol Zaleh kecuali Bomoh Sakinah yang sedang nazak, Mohdi dan Zamuri digambarkan membaca kitab-kitab agama, membaca surah yassin dan berpuasa. Pengarang menyampaikan  nilai  ini   dengan   gaya   yang  santai   dan  tidak  dipaksa-paksa untuk memberikan moral yang baik kepada pembaca. Jelasnya pengarang tidak meminggirkan nilai-nilai keagamaan dalam karyanya. Nilai ini memang amat sesuai dimuatkan dalam kisah masyarakat yang penuh dengan masalah  dan kecelaruan dalam kehidupan kerana salah satu jalan penyelesaian untuk mencari kekuatan  dalaman adalah dengan beribadat dan berdoa kepada Yang Berhak. Nilai ini dapat mengajar pembaca dan masyarakat supaya memperkukuh kepercayaan beragama  dengan tergilapnya sikap-sikap ikhlas,taat dan takwa serta sedar adanya Pencipta.

            Nilai kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi ujian hidup yang getir dikemukakan pengarang dengan jelas dalam novel ini. Situasi ini merujuk kepada watak-watak yang menghuni rumah pesakit lumpuh seperti Zedi, Zirah dan Egan yang cekal dan tabah menjalani  kehidupan seharian dengan berkerusi roda. Mereka pasrah dengan takdir dan saling mengambil berat antara satu sama lain walaupun keadaan hidup mereka menderita. Nilai ini juga dapat dilihat pada watak Zeni yang bangkit semula daripada penderitaan yang dicipta oleh Mohdi bekas suaminya. Watak seperti Hamdar juga cekal dan tabah kerana telah kehilangan ibunya sejak berusia dua belas tahun dan tinggal di hutan bersama ayahnya dalam usia itu kerana diburu penjajah. Kecekalan dan ketabahan dalam  menghadapi ujian seperti ini
dapat mengajar pembaca agar  tabah dan berjuang untuk hidup dengan cara yang direstui. Pembaca akan dapat menjadikan penderitaan dan masalah dalam hidup sebagai rencah kehidupan dan  berjuang melepaskan diri dari segala penderitaan tersebut.

            Masyarakat dalam manuskrip Lazri Meon walaupun setakat dua bab, menggambarkan masyarakat yang bersatu dan bekerjasama dalam usaha meneruskan perjuangan untuk hidup dan berjuang menentang penjajah. Dengan kata lain wujudnya nilai kerjasama dalam masyarakat tersebut. Walaupun mereka hidup dalam zaman penjajahan tetapi mereka tidak mengabaikan kebajikan dan keselamatan masyarakatnya dan sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Mardi misalnya sering  mengunjungi   Asihah dan dua anaknya semasa Murdi
pergi     bertapa  menuntut  ilmu. Zedi    dan  Zeni juga   kadang-kadang   berbincang  tentang
perubahan sikap ayah mereka dan mereka berusaha menyelami dan  memahami  ayah mereka melalui skrip sepanjang dua bab itu. Situasi ini menggambarkan ada kerjasama antara mereka untuk membantu ayah yang kehilangan keyakinan diri. Nilai ini amat penting dalam masyarakat dan  berkaitan  dengan peribahasa “berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing,” dalam  masyarakat  Melayu.  Amalan  kerjasama  akan dapat  memudahkan  yang susah dan meringankan beban yang ditanggung oleh sesuatu kelompok masyarakat atau individu. Nilai ini turut mengajar pembaca menjadi orang yang sensitif terhadap sesama insan, masyarakat dan negaranya serta sedia bekerjasama dan berkorban mempertahankan tanah air.

            Selain itu, nilai maruah diri juga diserapkan dalam karya ini. Lazri Meon menanamkan semangat serikandi dalam diri anak-anaknya agar tidak menjadi hamba atau mangsa penindasan. Peristiwa ini dapat dilihat dalam petikan berikut:
                        Ketika kecilnya juga, Zedi masih teringat bagaimana ayahnya
                        menanam  semangat  serikandi  pada  mereka  dua  beradik –
                        jangan  dibiarkan  diri  menjadi  dayang atau hamba, katanya.
                        jadilah wanita  yang  sedia berganding bahu “boleh ke dapur,
                        boleh ke lumpur,  boleh  bertempur  sebelum ke kubur”(kata-
                        kata ayahnya sendiri).
                                                                                    (Daerah Zeni:108)

Petikan tersebut menggambarkan bahawa kita harus menjaga maruah diri kita agar tidak diperlekeh orang lain sesuka hati dan sebaik-baiknya kita harus menjadi manusia yang serba
boleh iaitu dapat memberi sumbangan serta dapat berjuang untuk kepentingan bangsa. Nilai ini dapat mengajar pembaca agar menjaga maruah diri dan memikirkan bentuk-bentuk sumbangan yang dapat memberi manfaat kepada pihak lain. Nilai ini dapat mengangkat maruah sesuatu bangsa dan melahirkan bangsa yang bermaruah.

            Novel DZ ini dapat dikatakan mempunyai nilai karya yang tinggi. Hal ini demikian kerana karya ini juga  mengutarakan nilai moral yang penting kepada bangsa dan negara. Galakan atau seruan amalan membaca yang telah dibincangkan di bahagian isi karya   dalam novel ini merupakan isu nasional di negara kita. Setiap tahun kerajaan akan mengadakan ‘Bulan Membaca’  dan kempen untuk menggalakkan masyarakat membaca supaya dapat menjadi masyarakat yang berilmu. Pihak Kementerian Pelajaran pula mewajibkan Program NILAM di setiap sekolah dalam usaha menggalakkan generasi muda membaca. Hal ini demikian kerana orang yang berilmu akan dipandang tinggi dan dikatakan ‘orang besar’ kerana  ketinggian  ilmunya.   Isu moral  ini  dapat  memberi  kesedaran  kepada   masyarakat bahawa amalan membaca adalah amalan yang mulia. Tambahan pula  di dalam Al-Quran ada peristiwa Jibrail menyuruh Nabi Muhammad (s.a.w) yang tidak tahu membaca itu mengikutinya. Itulah  titik   permulaan   ilmu   moral  dunia  mutakhir  yang  diturunkan oleh Allah   subhanahu wa taala  kepada Muhammad,  Rasul-nya (Abdullah Hussain : 1997 : 116).
Hal ini memberi panduan  kepada kita betapa pentingnya amalan membaca untuk mendapatkan ilmu dalam kehidupan manusia pada akhir zaman kerana amalan ini dapat meningkatkan keintelektualan dan kewarasan seseorang.

            Isu moral lain yang  mempunyai nilai yang tinggi ialah isu alam sekitar yang diketengahkan melalui sikap cinta akan alam sekitar melalui watak-watak dalam karya ini. Isu ini bukan sahaja menjadi isu nasional tetapi telah menjadi isu penting di peringkat global. Setiap tahun masalah alam sekitar dibincangkan dan kempen-kempen  diadakan untuk menanam nilai cinta akan alam.  Misalnya kerjasama serantau diadakan antara  Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengatasi masalah pencemaran akibat jerebu. Malahan piak Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan   subjek Alam Sekitar di  sesetengah sekolah untuk  mendidik generasi muda agar menghargai alam sekitar dan menyumbang untuk  memuliharanya.  Moralnya  kita perlu mencintai alam sekitar dan menjaga serta memeliharanya daripada tercemar supaya generasi yang akan datang dapat menikmati keindahan dan kehijauan alam. Nilai ini amat penting kepada pembaca kerana dapat mewujudkan sensitiviti kepada alam sekitar yang kian tercemar di negara kita.

Penutup

Kesimpulannya, walaupun novel ini memaparkan perjuangan hidup insan-insan yang bercelaru dan sarat dengan masalah dalam diri mereka, namun setiap watak mempunyai cara berfikir yang tersendiri tentang kehidupan. Watak-watak yang biasa dan mengalami permasalahan dalam hidup digambarkan mampu memberi sumbangan kepada negara walaupun kecil. Corak dan cara pemikiran ini membawa kepada persoalan-persoalan dan  nilai-nilai moral yang dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan serta memajukan moral masyarakat. Unsur-unsur didaktik atau moral yang banyak dipaparkan dan dicungkil melalui peristiwa dan perwatakan watak-wataknya serta terdapat nilai karya yang tinggi di dalam novel ini menjadikan novel ini penting dan tinggi nilainya serta tergolong dalam karya yang bermoral dari sudut pendekatan moral.

BIBLIOGRAFI

A.Samad Said.  1985. Daerah Zeni.  Selangor : Fajar Bakti.

A.Samad Said.  1991.  Bersama Samad ke Daerah Zeni.  Selangor : Marwillis Publisher &            Distributor.

Abdullah Hussain.  1997.  Sastera memperkukuh kepercayaan beragama. Dlm. Urus Setia             Panel Anugerah Sastera Negara (pngr.).  Sastera dan kemanusiaan, hlm. 109-121.    Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arpan Shahbudin. 1999. Sastera harus membentuk moral. Dewan Sastera April : 9.

Fatimah Busu. 1992. Daerah Zeni : kolaj novel Malaysia masa depan. Dewan Sastera        Oktober :82.


Hashim Awang.  1998.  Teori dan kritikan kesusasteraan Melayu.  Dewan Sastera Oktober :         92-93.

Lorens Bagus.  1996.  Kamus filsafat. Jakarta : Pustaka Utama.

Mana Sikana. 1990. Sastera Melayu moden : perubahan dan tamadun. Selangor : Penerbit            Karyawan.

Mana Sikana. 2009.  Kritikan sastera Melayu moden.  Singapura : Pustaka Karya.

Rahman Shaari. 1994.  Kritikan sastera Melayu : pendekatan dan pemikiran. Kuala Lumpur :        Dewan Bahasa dan Pustaka.


Siti Aisah Murad (pngr.).  2007. A. Samad Said dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur :   Dewan Bahasa dan Pustaka.



Ros daripada sahabatku Sania Walchee di Lundu, Sarawak-
ros menaut rasa
Waa..waa....kudupnya nak mekar dah....

Tadaaa...dah nak mekar- Kuntuman yang nak mekar-ros jenis batik -macam baldu kelopaknya-
foto daripada Fb Sania Walchee-thanks sebab mengingati aku bersandarkan ros
yang aku sangat sukaaa...i like...