Wednesday 15 October 2014

Persidangan pahmi8-UNILAK Riau Pekanbaru-22-26 September 2014



Pahmi8 atau Konferensi Internasional Hubungan Indonesia-Malaysia Ke-8 telah berlangsung dengan penuh romantis dan jayanya pada 23-25 September 2014 yang lalu di Universiti Lanchang Kuning (UNILAK), Pekanbaru Riau. Seminar ini bertemakan “Memperkuat Kemitraan Strategis Negara Serumpun” dengan giliran Indonesia sebagai tuan rumah pada kali ini. Tema seminar kali ini mencerminkan usahasama untuk memperteguh dan mempererat kerjasama serta jalinan hubungan yang kukuh antara kedua-dua dalam bersiap siaga memasuki kancah persaingan global. UNILAK bekerjasama dengan Fakulti Sastera Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaya (UM) dalam mengorganisasi dan  menyelenggarakan seminar tahunan ini. Kedua-dua negara  menjadi  rumpun yang sentiasa mengutamakan kedamaian dan keharmonian demi kesejahteraan umat di kedua-dua negara berlandaskan budaya, sastera dan bahasa serumpun. Pihak penganjur Pahmi8 berasa bangga kerana terpilih sebagai tuan rumah bagi menyelenggarakan seminar  tahunan bagi kali yang ke-8 ini.


UNILAK terletak di Jalan Yos Sudrso, Rumbai Pekanbaru yang merupakan ibu kota Provinsi Riau dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Riau mempunyai enam juta penduduk dan merupakan bandar ke-3 terbesar di Pulau Sumatera selepas Medan dan Palembang.  UNILAK merupakan sebuah universiti swasta di Pekanbaru  yang menawarkan pelbagai kursus kepada para penuntutnya. Antara bidang ilmu yang menjadi tumpuan UNILAK dalam memperkasa dan memugar minda tenaga muda mereka sebagai persediaan menerokai dan menjelajahi era globalisasi ialah ilmu undang-undang, kesenian, kebudayaan, bahasa, sastera, ekonomi, sains dan teknologi dan sejarah. Penuntut di sini datang dari sekitar Riau dan daerah-daerah di luar Riau.
Sementara 21 kertas kerja mewakili tema pendidikan, bahasa dan sastera yang turut menjadi topik-topik hangat yang dibincang, diperdebat dan diwacana secara kritis dan analitis oleh para ilmuan dalam seminar ini. Penulis (UM) dan rakan-rakan senegara, iaitu Awg Kasmurie Awg Kitot (UM) Suhana Lina Sarkawi (UM) Egmal Adin (UPSI) Norsarihan Ahmad (UMS) dan Rohaizat Ibrahim (UKM) turut membentangkan kertas kerja bawah tema budaya, pendidikan dan bahasa. Kertas kerja yang mewakili tema bahasa, antara lainnya menyentuh tentang aspek kesopanan dalam berbahasa, penggunaan kata sapaan Dialek Negeri Sembilan dan Minangkabau dan dekonstruksi nilai dalam peribahasa.

Kenangan -Dara & Teruna Riau berpakaian kuning
Pahmi8 telah berjaya mengungkai segala isu dan persoalan yang kabur, remang-remang dan taksa melalui diskusi dan perkongsian yang merentas pelbagai bidang ilmu  secara  holistik dan komprehensif oleh para ilmuan dari kedua-dua buah negara. Seminar kali ini diharap dapat memekar dan menautkan keromantisan, penyatuan dan keutuhan hubungan antara Malaysia-Indonesia dalam usaha melestarikan keharmonian dan keperkasaan bahasa, sastera dan budaya serumpun. Seminar tahunan ini persis gerbang dan mekanisme yang bertendensi mencitrakan jalinan persahabatan yang sentiasa mekar dan melestarikan pengukuhan  hubungan antara  Malaysia-Indonesia.
 
UNIVERSITI LANCHANG KUNING PEKANBARU RIAU
                                

No comments:

Post a Comment