Friday 10 October 2014

Makalahku di UNILAK

Wajah kegembiraan setelah selesai membentang dengan sijil masing-masing


                         
Rakan-rakan pemakalah senegara -izat, awg, egmal, norsarihan dan Dr Norhayatie
         
Bersedia untuk membentang ...


Kertas kerja yang dibentangkan  bertajuk Analisis Kesopanan Bahasa Leech (1983) dan Grice (1975) : Manifestasi Pola dan Struktur Kesopanan Bahasa dalam Peristiwa Melunas Rindu  merupakan kajian yang menekuni bahan Komsas dari sudut pragmatik. Kajian ini telah menemukan suatu metode untuk memanifestasikan kesopanan bahasa berlandaskan kombinasi dua model kesopanan. Walaupun kedua-dua model kesopanan ini digagaskan oleh sarjana Barat, iaitu Leech dan Grice, namun maksim-maksim kesopanan yang diketengahkan oleh kedua-dua sarjana mampu mengungkai aspek kesopanan bahasa yang terdapat dalam novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah. Antara maksim yang digagaskan adalah seperti Maksim Kebijaksanaan, Kedermawanan, Simpati, Persetujuan dan Sokongan (Leech) manakala maksim Kualiti dan Cara sebagaimana yang diuatarakan oleh (Grice). Aspek kesopanan berbahasa dilantunkan oleh watak-watak yang beraksi dan berdialog dalam novel ini secara terperinci selain memperlihatkan penggunaan kata, ungkapan dan ayat yang berpadanan dengan maksim-maksim kesopanan. Hasil dapatan memperlihatkan maksim-maksim Leech dan Grice dapat memberi dampak dan menyerlahkan kesopanan berbahasa dalam novel ini  selain membuktikan sesuatu peristiwa komunikasi yang berlangsung sebenarnya memerlukan kombinasi pelbagai maksim kesopanan. Struktur peristiwa kesopanan berbahasa dalam novel ini pula didapati bervariasi kerana bergantung pada objektif komunikasi. Kajian ini turut memaparkan kepentingan aspek kesopanan berbahasa untuk didedahkan kepada generasi muda khususnya mereka yang masih dibangku sekolah agar mereka membudayakannya dalam kehidupan.
            Kertas kerja lain yang mencakupi  tema bahasa yang menarik ialah kertas kerja yang bertajuk Nilai-Nilai dalam Peribahasa dan Peristiwa Masa Kini yang dibentangkan oleh Oktavianus dari Universiti Andalas berdasarkan peribahasa yang terdapat di Indonesia. Kajian ini  mengungkai peranan peribahasa sebagai sebahagian daripada kekayaan kebudayaan sesebuah etnik dan kerelevannya dengan peristiwa semasa bertitik tolak daripada pandangan yang menyatakan peribahasa sudah tidak relevan malahan ada antaranya yang sudah berlalu seiring dengan kepantasan pergerakan waktu dewasa ini. Justeru, kajian ini cuba menghuraikan kemunasabahan dan metode untuk mengusai dan mendekonstruksikan nilai-nilai yang terkandung dalam peribahasa sebagai khazanah bangsa yang bernilai dengan peristiwa masa ini dari sudut pragmatik dan semantik. Hasil dapatan kajian ini mendapati bahawa nilai-nilai yang terkandung dalam peribahasa  masih relevan  dengan peristiwa semasa dengan cara memahami makna literalnya, makna tersirat berdasarkan konteks dan menilai unsur didaktik yang terkandung dalam peribahasa tersebut termasuklah mendekonstruksi peribahasa yang berunsur negatif kepada yang bersifat positif.  Misalnya, peribahasa habis manis sepah dibuang masih relevan dengan situasi semasa dan biasa berlaku dalam masyarakat. Walaupun peribahasa ini mengandungi nilai negatif tentang sikap manusia yang tidak mengenang budi, tetapi peribahasa ini dapat didekonstruksikan menjadi janganlah habis manis, sepah dibuang atau tidak baik habis manis sepah dibuang. Ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa peribahasa merupakan kato pusako (kata pusaka) yang dimiliki bangsa-bangsa di dunia dan media yang menyimpan dan melestarikan nilai-nilai yang dapat dijadikan pedoman hidup sepanjang zaman. Peribahasa juga simbol kemagisan yang mewarnai kehidupan masyarakat Melayu sejak dahulu kala yang persis didalamnya padat dengan siratan makna yang memberi gambaran minda masyarakat Melayu yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

No comments:

Post a Comment